Monday, 16 December 2013

Kempen : Anda Juga Boleh Jadi Designer PROTON! (My Own PROTON)

Miqa melapor diri.

Kali ini kita akan menjalankan kempen yang boleh disertai oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira usia, jantina, pangkat dan keturunan. Yang penting anda rakyat Malaysia. Marilah tunjukkan bakat terpendam anda dengan mencipta produk atau kereta PROTON anda.

Bagaimana caranya?

Mudah sahaja! Anda hanya perlu buat sebagaimana designer-designer di PROTON lakukan iaitu dengan 2 langkah.

PERTAMA : Cetak lambang PROTON DI BAWAH.


KEDUA : Lekatkan lambang tersebut di mana-mana kereta / kenderaan yang ada sukai. Kemudian namakanlah kereta / kenderaan tersebut sesuka hati anda. Mudah bukan?

PROTON ASMARA

PROTON GARUDA

PROTON ARJUNA

PROTON RANGGI

PROTON GILIS

Nah! Sekarang anda sama level dengan designer-designer PROTON. Cepat kirimkan resume anda berserta dengan rekaan-rekaan terbaru anda ke jabatan sumber manusia PROTON. Kreativiti anda diperlukan!

Semoga berjaya! =)

Miqa

Sunday, 8 December 2013

Review Buku : Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah (Dr. Mohd Asri Zainal Abidin)

Salam sejahtera sahabat sekalian. Miqa melapor diri. Kali ni nak buat ulasan buku pulak. Buku ni berjudul 'Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah' nukilan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Buku ini nipis sahaja iaitu 167 muka surat namun isi kandungan di dalamnya padat dengan fakta-fakta dan hujah-hujah yang saya fikir mustahak dijadikan rujukan oleh umat Islam di tanah melayu ini khususnya bagi menangkis fitnah dan putar belit dari pihak yang tidak bertanggung jawab.


Ada banyak isu yang dikupas melalui buku ini terutamanya peristiwa pengkhianatan Abdullah bin Saba', sengketa di antara para sahabat berikutan pembunuhan Saidina Uthman, sengketa antara Saidina Ali dan Saidatina Aishah dan Muawiyah, peristiwa perang Siffin dan lain-lain. Hujah-hujah yang dilampirkan penulis adalah tegas malah disokong dengan dalil hadith dan ayat-ayat suci Al-Quran demi memberi penjelasan mantap dan melawan tuduhan-tuduhan pihak jahat dan sesat seperti syiah.

Antara perkara yang ditekankan di dalam buku ini ialah jangan kita mudah menghukum dan menuduh para sahabat Rasulullah yang mulia dengan sewenang-wenang. Sayang dan kasih dan cintalah pada sahabat Rasulullah atas perjuangan dan pengorbanan mereka yang jauh lebih besar berbanding kita. Yang lebih utama, jangan kita terpengaruh dengan hasutan, bisikan, ajakan orang-orang syiah yang berniat jahat menyesatkan umat Islam.


Carilah buku ini, baca dan jadikanlah rujukan. InsyaAllah ada manfaatnya.

MIQA

Monday, 25 November 2013

Antara Kritikan Dan Ketaatan Kepada Gerakan / Jemaah

Salam sejahtera! Miqa melapor ke dalam.

Ketaatan pengikut kepada sesuatu gerakan itu menjadi tunjang kepada kekuatan gerakan itu. Terutama apabila gerakan itu berhadapan dengan tentangan atau lawan yang lebih besar dan berkuasa. Pucuk pimpinan gerakan akan berusaha untuk mengikat pengikut untuk tunduk, taat dan patuh pada sebarang keputusan malah kalau boleh jangan dipersoalkan atau dipertikaikan. Para pengikut terdidik untuk tidak bersuara dan akur. Kalau ada yang bersuara, mereka akan diserang bertubi-tubi, walaupun hanya sekadar melontar pendapat yang kadangkala ada benarnya.

Adakah ini suatu perkembangan yang sihat?

Secara peribadi saya melihat isu ini amatlah tidak sihat malah boleh menjejas pemikiran kritis dan pembiakan idea di kalangan pengikut gerakan. Mengapa kita perlu terikat, terkongkong dan tidak bebas untuk melontarkan idea, kritikan dan pandangan? Bukankah itu hak asasi insan? Walau siapa pucuk pimpinan kita sekalipun, mereka harus berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan. Mereka bukan insan maksum seperti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Mereka ada kelemahan, kekurangan dan kadangakala memerlukan kepada teguran dan kritikan. Para sahabat dan amirul mukminin juga pernah ditegur dan dikritik. Andai pemimpin sesebuah gerakan gagal menerima kritikan dan menyukarkan saluran untuk bersuara, ia bukanlah suatu gerakan yang ideal untuk disertai malah menjadi ancaman kepada masyarakat.

Masyarakat yang maju dan pintar memerlukan kepada budaya yang bebas, terbuka dan berani dalam melontar dan menerima kritikan. Kita lihat negara-negara seperti Jepun, Korea, USA dan negara-negara eropah, mereka meng-optimakan segala medium yang wujud seperti novel, filem, muzik, seni, teater dan lain-lain untuk meluahkan kritikan dan teguran. Sebab itu mereka jauh terkehadapan berbanding kita. Guru boleh menerima kritikan anak murid. Majikan boleh menerima kritikan pekerja. Ibu bapa boleh menerima kritikan anak-anak. Pemimpin boleh menerima kritikan pengikut. Apabila hak ini tidak diraikan, maka apa yang tinggal adalah mentaliti jumud yang tidak berkembang malah mengundur pula ke belakang.

Akhir kata, tunjang untuk sebuah gerakan yang matang dan ideal bukanlah hanya bergantung kepada pengikut yang patuh dan taat tetapi juga pengikut yang aktif menyuarakan pandangan, idea dan kritikan. Andai nilai ini tiada, kemenangan yang dicapai pun akhirnya tidak akan kekal lama. Kemenangan yang kita inginkan bukanlah kemenangan gerakan semata, tetapi yang lebih utama, kemenangan bagi semua pihak tidak kira pemimpin mahupun pengikut.

Miqa

Syasya, Si Kaki Pukul (Bahagian 2)

Syasya terkebil-kebil apabila mendapati dirinya di atas katil hospital. Dia tidak ingat perkara seterusnya yang berlaku setelah dia rebah dibelasah oleh Hayati. Syasya rasa hatinya panas membara. Pengalaman tewas buat kali pertama benar-benar menduga kesabarannya. Dengan luka masih belum sembuh, dia bangkit dari katil untuk mencari Hayati, namun dia dikekang beberapa orang pekerja hospital.

Syasya mendapat cuti sakit untuk seminggu. Sepanjang hari tidak bersekolah, Syasya sentiasa membayangkan Hayati. Dia ingin sekali membelasah gadis gempal itu secepat mungkin. Ke hulu ke hilir dia berjalan sambil memikirkan taktik dan teknik bagaimana untuk menewaskan seterunya itu. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi. Dia ingin bersemuka dengan Hayati pada hari pertama dia masuk semula ke sekolah.

Seminggu kemudian, Syasya kembali ke sekolah. Luka di wajahnya sudah sembuh. Tubuhnya penuh bertenaga dan jiwanya cukup bersemangat. Keinginan untuk menebus kekalahannya tempoh hari berkobar-kobar. Dia melangkah merentasi koridor demi koridor mencari-cari kelibat Hayati dan sekutunya Nadia. Dia juga masuk ke kelas demi kelas mencari mereka. Anehnya, Hayati gagal ditemui. Syasya bertanya murid-murid lain, namun mereka hanya mendiamkan diri.

Syasya buntu. Dia lalu membuat keputusan untuk menunggu Hayati dan rakan-rakannya di kelas paling hujung yang tidak berpenghuni itu. Dia menunggu dari waktu pagi sehinggalah petang. Kelibat Hayati tetap tidak muncul.

Di saat Syasya hampir-hampir hilang sabar, tiba-tiba dia ditegur. Dia menoleh dan melihat Nadia tercegat di sisinya. Syasya seraya melompat dan menanyakan di mana Hayati.

"Aku tahu kau cari Hayati sejak pagi tadi. Jangan buang masa kau. Dia takkan datang," ucap Nadia.

"Cis, pengecut! Aku takkan lepaskan bedebah tu. Dia takkan boleh sembunyi dari aku!" Bentak Syasya.

"Syasya," kata Nadia dengan nada perlahan. "Hayati dah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada hari Selasa lepas. Aku harap kau maafkanlah dia. Lupakan semua yang dah berlaku."

Syasya tergamam. Di dalam dirinya menjelma satu perasaan yang aneh. Dia rasa tewas. Dia rasa lemah. Kini dia tidak mungkin dapat menebus kekalahannya sampai bila-bila. Hayati telah membawa kemenangan itu pergi bersamanya.

"Aku dah kalah," ucap Syasya lemah.

"Tiada siapa yang menang atau kalah," ucap Nadia. "Kita masih ada harapan."

Syasya tidak mengerti maksud Nadia.

"Kelas kosong ni akan jadi 'port' kita. Kita boleh jadikan kelas ni untuk membina sebuah kelab," jelas Nadia.

"Kelab? Kelab apa?" soal Syasya.

"Kelab PERSAHABATAN," balas Nadia tersenyum.
Syasya juga tersenyum. Dia bersetuju.

- TAMAT - 



Friday, 22 November 2013

Bila Orang Agama Membuka Mulut

Ada di kalangan orang agama, bila membuka mulut, ucapan yang kotor dan jijik melebihi dari yang suci. Semoga Allah memberi petunjuk pada kita semua.

* Isu ini akan dibincangkan kemudian.






Syasya, Si Kaki Pukul (Bahagian 1)

Kisah ini adalah mengenai seorang gadis sekolah rendah bernama Syasya. Tubuhnya kecil saja. Rambutnya pendek. Dia tak pernah sekali pun dilihat senyum. Berbicara juga sangat jarang. Dia selalu mengasingkan diri dari rakan-rakan yang lain. Sejak kecil dia kerap berpindah randah kerana mengikut bapanya yang bekerja sebagai.... dia tidak tahu apa pekerjaan bapanya. Akibatnya, dia sering terpaksa bertukar sekolah. Mungkin sebab itu dia tidak punyai kawan....

Satu tabiat buruk Syasya adalah memukul orang. Setiap kali masuk ke sekolah baru, Syasya akan mencari lawannya. Dengan tubuh kecil, dia melangkah umpama samseng jalanan memerhati sesiapa yang memenuhi 'spesifikasi' untuk menerima penumbuknya. Kini sudah darjah lima, dia masih memegang rekod tidak pernah tewas dalam mana-mana pertarungan. Pulang ke rumah dengan muka bengkak dan hidung berdarah sudah menjadi kebiasaan baginya. Ibu bapanya pun sudah buntu fikiran dengan tabiatnya itu.

Hari itu hari kedua Syasya di sekolah baru. Pada waktu rehat Syasya merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah mencari 'pasal' dengan murid-murid lain. Tapi Syasya bukan nak bermusuh dengan sesiapa. Dia hanya mencari pasangan untuk berentap. Selagi tak berjumpa seteru, selagi itu dia tak boleh duduk diam.

Syasya berjalan sampai ke kelas paling hujung. Kelas itu tidak berpenghuni. Kerusi dan meja tidak tersusun dan sampah sarap bertebaran Tiba-tiba kedengaran satu suara menegur keras. "Woi budak baru! Blah dari sini. Ini 'port' kitorang!"

Syasya menoleh, melihat sekumpulan murid perempuan darjah enam merenung bengis padanya.

"Pekak ke? Orang suruh blah, BLAH je la!" bentak salah seorang yang bertubuh besar.

Syasya tak berganjak seinci pun. "Mulai hari ini, port ni aku punya," ucapnya selamba.

Murid-murid perempuan itu bersorak mendengar kata-kata Syasya. "Ko nak mampus eh? Takde otak? Ko nak kena belasah?" soal yang bertubuh besar itu. Namanya Hayati. Dia yang paling besar dan paling lantang di antara mereka.

"Jom lawan. Kalau kau kalah, tempat ni jadi port aku. Kalau aku kalah, aku takkan jejak tempat ni lagi sampai bila-bila," cabar Syasya. Di hatinya teruja kerana sudah menemui lawan. Syasya belum pernah bertarung dengan lawan sebesar Hayati. Namun dia terima ini sebagai cabaran.

Hayati setuju. Mereka lalu menyingsing lengan, sedia untuk berentap. Kawan-kawan Hayati bersorak menyokongnya sambil mengejek dan menyindir Syasya.

Syasya tak menunggu lama untuk menghayun penumbuknya. Peliknya, tumbukan itu tak memberi apa-apa kesan kepada Hayati. Mungkin kerana tubuhnya yang besar, kebal dengan lapisan-lapisan lemak tebal. Syasya menumbuk dan menendang berulang kali dengan sekuat hati, namun sedikitpun tidak mampu menggerakkan Hayati.

Hayati ketawa besar melihat Syasya yang gagal meyakitinya. Dengan sebelah tangan dia lalu menolak tubuh Syasya membuatkannya jatuh berguling ke lantai. Syasya bangkit dengan cepat. Dia meluru semula ke arah Hayati sambil menghayun penumbuk namun sekali lagi dia ditolak. Syasya sekali lagi jatuh berguling. Kepalanya terhentak pada lantai dan bengkak.

Hayati dan rakan-rakannya ketawa besar melihat Syasya merintih. Namun Syasya masih tak putus semangat. Dia merempuh ke arah Hayati dan cuba untuk menumbuk mukanya. Hayati lebih tangkas merenggut baju Syasya dan menghumbankannya ke dinding. Tubuh Syasya terasa melayang sebelum menghentam dinding dan terhempas ke lantai.

"Budak bodoh. Cukuplah. Blah je dari sini. Jangan sampai Hayati patahkan tulang belakang ko!" seloroh Nadia, salah seorang kawan Hayati.

Syasya rasa berpinar-pinar. Kepalanya seakan berpusing-pusing. Dia cuba bangkit, namun jatuh. Dia cuba bangkit semula, namun sekali lagi jatuh. Dia lalu memegang tembok dan berusaha bangkit.

"Aku.." ucap Syasya dengan suara bergetar. "Aku tak rasa sakit langsung."

Wajah Hayati serta merta berubah. Dia mengetap gigi. Api marahnya pada Syasya menjulang naik. Dia lantas meluru pada Syasya, menarik rambut gadis itu dan menumbuk mukanya berulang kali. Tubuh Syasya kemudiannya dijulang dan dihempas ke lantai sebelum ditendang sekuat-kuat hati. Kawan-kawan Hayati yang tadi bersorak kini terdiam, senyap dan menekup mulut.

Hayati tercungap-cungap penat. Tubuh Syasya yang terkulai di lantai direnungnya lama. Dia bimbang kalau-kalai gadis itu pitam akibat pukulannya.

"Tak sakit langsung. Tak rasa apa-apa..." ucap Syasya dengan hidung dan mulut berlumur darah. Dia menoleh pada Hayati dengan tubuh terketar-ketar.

Hayati kaget. Mulutnya terlopong.

"Kau... Kau tak boleh kalahkan aku," kata Syasya, cuba bangkit dengan berpaut pada tembok. 

"Budak ni tak reti nak mampus ke!" Bentak Hayati. Kali ini dia benar-benar menghimpun seluruh tenaganya. Dia sudah tidak peduli lagi. Si celaka ini mesti dihapuskan!

Belum sempat Hayati bertindak, tiba-tiba kedengaran suara Cikgu Ruminah, guru disiplin sekolah memekik dari jauh. Hayati, Nadia dan rakan-rakannya bertempiaran melarikan diri meninggalkan Syasya terkulai di atas lantai, sendirian dengan darah berlumur di mukanya.

- Bagaimanakah nasib Syasya? Ikuti kesudahannya pada bahagian ke-2.

Masa untuk gambar random!


Sunday, 17 November 2013

Linkin Park - Burn It Down (Remix by Miqa)

Miqa in th house! I stayed up all night to do this cover. Not my favorite LP's song though, but it has a nice loop to it. I sped up the beat and did a little bit adjustment to the loop.

Enjoy,




Thank you for listening!

Miqa,