Monday, 16 December 2013

Kempen : Anda Juga Boleh Jadi Designer PROTON! (My Own PROTON)

Miqa melapor diri.

Kali ini kita akan menjalankan kempen yang boleh disertai oleh segenap lapisan masyarakat tidak kira usia, jantina, pangkat dan keturunan. Yang penting anda rakyat Malaysia. Marilah tunjukkan bakat terpendam anda dengan mencipta produk atau kereta PROTON anda.

Bagaimana caranya?

Mudah sahaja! Anda hanya perlu buat sebagaimana designer-designer di PROTON lakukan iaitu dengan 2 langkah.

PERTAMA : Cetak lambang PROTON DI BAWAH.


KEDUA : Lekatkan lambang tersebut di mana-mana kereta / kenderaan yang ada sukai. Kemudian namakanlah kereta / kenderaan tersebut sesuka hati anda. Mudah bukan?

PROTON ASMARA

PROTON GARUDA

PROTON ARJUNA

PROTON RANGGI

PROTON GILIS

Nah! Sekarang anda sama level dengan designer-designer PROTON. Cepat kirimkan resume anda berserta dengan rekaan-rekaan terbaru anda ke jabatan sumber manusia PROTON. Kreativiti anda diperlukan!

Semoga berjaya! =)

Miqa

Sunday, 8 December 2013

Review Buku : Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah (Dr. Mohd Asri Zainal Abidin)

Salam sejahtera sahabat sekalian. Miqa melapor diri. Kali ni nak buat ulasan buku pulak. Buku ni berjudul 'Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah' nukilan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin. Buku ini nipis sahaja iaitu 167 muka surat namun isi kandungan di dalamnya padat dengan fakta-fakta dan hujah-hujah yang saya fikir mustahak dijadikan rujukan oleh umat Islam di tanah melayu ini khususnya bagi menangkis fitnah dan putar belit dari pihak yang tidak bertanggung jawab.


Ada banyak isu yang dikupas melalui buku ini terutamanya peristiwa pengkhianatan Abdullah bin Saba', sengketa di antara para sahabat berikutan pembunuhan Saidina Uthman, sengketa antara Saidina Ali dan Saidatina Aishah dan Muawiyah, peristiwa perang Siffin dan lain-lain. Hujah-hujah yang dilampirkan penulis adalah tegas malah disokong dengan dalil hadith dan ayat-ayat suci Al-Quran demi memberi penjelasan mantap dan melawan tuduhan-tuduhan pihak jahat dan sesat seperti syiah.

Antara perkara yang ditekankan di dalam buku ini ialah jangan kita mudah menghukum dan menuduh para sahabat Rasulullah yang mulia dengan sewenang-wenang. Sayang dan kasih dan cintalah pada sahabat Rasulullah atas perjuangan dan pengorbanan mereka yang jauh lebih besar berbanding kita. Yang lebih utama, jangan kita terpengaruh dengan hasutan, bisikan, ajakan orang-orang syiah yang berniat jahat menyesatkan umat Islam.


Carilah buku ini, baca dan jadikanlah rujukan. InsyaAllah ada manfaatnya.

MIQA

Monday, 25 November 2013

Antara Kritikan Dan Ketaatan Kepada Gerakan / Jemaah

Salam sejahtera! Miqa melapor ke dalam.

Ketaatan pengikut kepada sesuatu gerakan itu menjadi tunjang kepada kekuatan gerakan itu. Terutama apabila gerakan itu berhadapan dengan tentangan atau lawan yang lebih besar dan berkuasa. Pucuk pimpinan gerakan akan berusaha untuk mengikat pengikut untuk tunduk, taat dan patuh pada sebarang keputusan malah kalau boleh jangan dipersoalkan atau dipertikaikan. Para pengikut terdidik untuk tidak bersuara dan akur. Kalau ada yang bersuara, mereka akan diserang bertubi-tubi, walaupun hanya sekadar melontar pendapat yang kadangkala ada benarnya.

Adakah ini suatu perkembangan yang sihat?

Secara peribadi saya melihat isu ini amatlah tidak sihat malah boleh menjejas pemikiran kritis dan pembiakan idea di kalangan pengikut gerakan. Mengapa kita perlu terikat, terkongkong dan tidak bebas untuk melontarkan idea, kritikan dan pandangan? Bukankah itu hak asasi insan? Walau siapa pucuk pimpinan kita sekalipun, mereka harus berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan. Mereka bukan insan maksum seperti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Mereka ada kelemahan, kekurangan dan kadangakala memerlukan kepada teguran dan kritikan. Para sahabat dan amirul mukminin juga pernah ditegur dan dikritik. Andai pemimpin sesebuah gerakan gagal menerima kritikan dan menyukarkan saluran untuk bersuara, ia bukanlah suatu gerakan yang ideal untuk disertai malah menjadi ancaman kepada masyarakat.

Masyarakat yang maju dan pintar memerlukan kepada budaya yang bebas, terbuka dan berani dalam melontar dan menerima kritikan. Kita lihat negara-negara seperti Jepun, Korea, USA dan negara-negara eropah, mereka meng-optimakan segala medium yang wujud seperti novel, filem, muzik, seni, teater dan lain-lain untuk meluahkan kritikan dan teguran. Sebab itu mereka jauh terkehadapan berbanding kita. Guru boleh menerima kritikan anak murid. Majikan boleh menerima kritikan pekerja. Ibu bapa boleh menerima kritikan anak-anak. Pemimpin boleh menerima kritikan pengikut. Apabila hak ini tidak diraikan, maka apa yang tinggal adalah mentaliti jumud yang tidak berkembang malah mengundur pula ke belakang.

Akhir kata, tunjang untuk sebuah gerakan yang matang dan ideal bukanlah hanya bergantung kepada pengikut yang patuh dan taat tetapi juga pengikut yang aktif menyuarakan pandangan, idea dan kritikan. Andai nilai ini tiada, kemenangan yang dicapai pun akhirnya tidak akan kekal lama. Kemenangan yang kita inginkan bukanlah kemenangan gerakan semata, tetapi yang lebih utama, kemenangan bagi semua pihak tidak kira pemimpin mahupun pengikut.

Miqa

Syasya, Si Kaki Pukul (Bahagian 2)

Syasya terkebil-kebil apabila mendapati dirinya di atas katil hospital. Dia tidak ingat perkara seterusnya yang berlaku setelah dia rebah dibelasah oleh Hayati. Syasya rasa hatinya panas membara. Pengalaman tewas buat kali pertama benar-benar menduga kesabarannya. Dengan luka masih belum sembuh, dia bangkit dari katil untuk mencari Hayati, namun dia dikekang beberapa orang pekerja hospital.

Syasya mendapat cuti sakit untuk seminggu. Sepanjang hari tidak bersekolah, Syasya sentiasa membayangkan Hayati. Dia ingin sekali membelasah gadis gempal itu secepat mungkin. Ke hulu ke hilir dia berjalan sambil memikirkan taktik dan teknik bagaimana untuk menewaskan seterunya itu. Dia sudah tidak sabar-sabar lagi. Dia ingin bersemuka dengan Hayati pada hari pertama dia masuk semula ke sekolah.

Seminggu kemudian, Syasya kembali ke sekolah. Luka di wajahnya sudah sembuh. Tubuhnya penuh bertenaga dan jiwanya cukup bersemangat. Keinginan untuk menebus kekalahannya tempoh hari berkobar-kobar. Dia melangkah merentasi koridor demi koridor mencari-cari kelibat Hayati dan sekutunya Nadia. Dia juga masuk ke kelas demi kelas mencari mereka. Anehnya, Hayati gagal ditemui. Syasya bertanya murid-murid lain, namun mereka hanya mendiamkan diri.

Syasya buntu. Dia lalu membuat keputusan untuk menunggu Hayati dan rakan-rakannya di kelas paling hujung yang tidak berpenghuni itu. Dia menunggu dari waktu pagi sehinggalah petang. Kelibat Hayati tetap tidak muncul.

Di saat Syasya hampir-hampir hilang sabar, tiba-tiba dia ditegur. Dia menoleh dan melihat Nadia tercegat di sisinya. Syasya seraya melompat dan menanyakan di mana Hayati.

"Aku tahu kau cari Hayati sejak pagi tadi. Jangan buang masa kau. Dia takkan datang," ucap Nadia.

"Cis, pengecut! Aku takkan lepaskan bedebah tu. Dia takkan boleh sembunyi dari aku!" Bentak Syasya.

"Syasya," kata Nadia dengan nada perlahan. "Hayati dah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada hari Selasa lepas. Aku harap kau maafkanlah dia. Lupakan semua yang dah berlaku."

Syasya tergamam. Di dalam dirinya menjelma satu perasaan yang aneh. Dia rasa tewas. Dia rasa lemah. Kini dia tidak mungkin dapat menebus kekalahannya sampai bila-bila. Hayati telah membawa kemenangan itu pergi bersamanya.

"Aku dah kalah," ucap Syasya lemah.

"Tiada siapa yang menang atau kalah," ucap Nadia. "Kita masih ada harapan."

Syasya tidak mengerti maksud Nadia.

"Kelas kosong ni akan jadi 'port' kita. Kita boleh jadikan kelas ni untuk membina sebuah kelab," jelas Nadia.

"Kelab? Kelab apa?" soal Syasya.

"Kelab PERSAHABATAN," balas Nadia tersenyum.
Syasya juga tersenyum. Dia bersetuju.

- TAMAT - 



Friday, 22 November 2013

Bila Orang Agama Membuka Mulut

Ada di kalangan orang agama, bila membuka mulut, ucapan yang kotor dan jijik melebihi dari yang suci. Semoga Allah memberi petunjuk pada kita semua.

* Isu ini akan dibincangkan kemudian.






Syasya, Si Kaki Pukul (Bahagian 1)

Kisah ini adalah mengenai seorang gadis sekolah rendah bernama Syasya. Tubuhnya kecil saja. Rambutnya pendek. Dia tak pernah sekali pun dilihat senyum. Berbicara juga sangat jarang. Dia selalu mengasingkan diri dari rakan-rakan yang lain. Sejak kecil dia kerap berpindah randah kerana mengikut bapanya yang bekerja sebagai.... dia tidak tahu apa pekerjaan bapanya. Akibatnya, dia sering terpaksa bertukar sekolah. Mungkin sebab itu dia tidak punyai kawan....

Satu tabiat buruk Syasya adalah memukul orang. Setiap kali masuk ke sekolah baru, Syasya akan mencari lawannya. Dengan tubuh kecil, dia melangkah umpama samseng jalanan memerhati sesiapa yang memenuhi 'spesifikasi' untuk menerima penumbuknya. Kini sudah darjah lima, dia masih memegang rekod tidak pernah tewas dalam mana-mana pertarungan. Pulang ke rumah dengan muka bengkak dan hidung berdarah sudah menjadi kebiasaan baginya. Ibu bapanya pun sudah buntu fikiran dengan tabiatnya itu.

Hari itu hari kedua Syasya di sekolah baru. Pada waktu rehat Syasya merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah mencari 'pasal' dengan murid-murid lain. Tapi Syasya bukan nak bermusuh dengan sesiapa. Dia hanya mencari pasangan untuk berentap. Selagi tak berjumpa seteru, selagi itu dia tak boleh duduk diam.

Syasya berjalan sampai ke kelas paling hujung. Kelas itu tidak berpenghuni. Kerusi dan meja tidak tersusun dan sampah sarap bertebaran Tiba-tiba kedengaran satu suara menegur keras. "Woi budak baru! Blah dari sini. Ini 'port' kitorang!"

Syasya menoleh, melihat sekumpulan murid perempuan darjah enam merenung bengis padanya.

"Pekak ke? Orang suruh blah, BLAH je la!" bentak salah seorang yang bertubuh besar.

Syasya tak berganjak seinci pun. "Mulai hari ini, port ni aku punya," ucapnya selamba.

Murid-murid perempuan itu bersorak mendengar kata-kata Syasya. "Ko nak mampus eh? Takde otak? Ko nak kena belasah?" soal yang bertubuh besar itu. Namanya Hayati. Dia yang paling besar dan paling lantang di antara mereka.

"Jom lawan. Kalau kau kalah, tempat ni jadi port aku. Kalau aku kalah, aku takkan jejak tempat ni lagi sampai bila-bila," cabar Syasya. Di hatinya teruja kerana sudah menemui lawan. Syasya belum pernah bertarung dengan lawan sebesar Hayati. Namun dia terima ini sebagai cabaran.

Hayati setuju. Mereka lalu menyingsing lengan, sedia untuk berentap. Kawan-kawan Hayati bersorak menyokongnya sambil mengejek dan menyindir Syasya.

Syasya tak menunggu lama untuk menghayun penumbuknya. Peliknya, tumbukan itu tak memberi apa-apa kesan kepada Hayati. Mungkin kerana tubuhnya yang besar, kebal dengan lapisan-lapisan lemak tebal. Syasya menumbuk dan menendang berulang kali dengan sekuat hati, namun sedikitpun tidak mampu menggerakkan Hayati.

Hayati ketawa besar melihat Syasya yang gagal meyakitinya. Dengan sebelah tangan dia lalu menolak tubuh Syasya membuatkannya jatuh berguling ke lantai. Syasya bangkit dengan cepat. Dia meluru semula ke arah Hayati sambil menghayun penumbuk namun sekali lagi dia ditolak. Syasya sekali lagi jatuh berguling. Kepalanya terhentak pada lantai dan bengkak.

Hayati dan rakan-rakannya ketawa besar melihat Syasya merintih. Namun Syasya masih tak putus semangat. Dia merempuh ke arah Hayati dan cuba untuk menumbuk mukanya. Hayati lebih tangkas merenggut baju Syasya dan menghumbankannya ke dinding. Tubuh Syasya terasa melayang sebelum menghentam dinding dan terhempas ke lantai.

"Budak bodoh. Cukuplah. Blah je dari sini. Jangan sampai Hayati patahkan tulang belakang ko!" seloroh Nadia, salah seorang kawan Hayati.

Syasya rasa berpinar-pinar. Kepalanya seakan berpusing-pusing. Dia cuba bangkit, namun jatuh. Dia cuba bangkit semula, namun sekali lagi jatuh. Dia lalu memegang tembok dan berusaha bangkit.

"Aku.." ucap Syasya dengan suara bergetar. "Aku tak rasa sakit langsung."

Wajah Hayati serta merta berubah. Dia mengetap gigi. Api marahnya pada Syasya menjulang naik. Dia lantas meluru pada Syasya, menarik rambut gadis itu dan menumbuk mukanya berulang kali. Tubuh Syasya kemudiannya dijulang dan dihempas ke lantai sebelum ditendang sekuat-kuat hati. Kawan-kawan Hayati yang tadi bersorak kini terdiam, senyap dan menekup mulut.

Hayati tercungap-cungap penat. Tubuh Syasya yang terkulai di lantai direnungnya lama. Dia bimbang kalau-kalai gadis itu pitam akibat pukulannya.

"Tak sakit langsung. Tak rasa apa-apa..." ucap Syasya dengan hidung dan mulut berlumur darah. Dia menoleh pada Hayati dengan tubuh terketar-ketar.

Hayati kaget. Mulutnya terlopong.

"Kau... Kau tak boleh kalahkan aku," kata Syasya, cuba bangkit dengan berpaut pada tembok. 

"Budak ni tak reti nak mampus ke!" Bentak Hayati. Kali ini dia benar-benar menghimpun seluruh tenaganya. Dia sudah tidak peduli lagi. Si celaka ini mesti dihapuskan!

Belum sempat Hayati bertindak, tiba-tiba kedengaran suara Cikgu Ruminah, guru disiplin sekolah memekik dari jauh. Hayati, Nadia dan rakan-rakannya bertempiaran melarikan diri meninggalkan Syasya terkulai di atas lantai, sendirian dengan darah berlumur di mukanya.

- Bagaimanakah nasib Syasya? Ikuti kesudahannya pada bahagian ke-2.

Masa untuk gambar random!


Sunday, 17 November 2013

Linkin Park - Burn It Down (Remix by Miqa)

Miqa in th house! I stayed up all night to do this cover. Not my favorite LP's song though, but it has a nice loop to it. I sped up the beat and did a little bit adjustment to the loop.

Enjoy,




Thank you for listening!

Miqa,

Friday, 15 November 2013

Transfusi Darah - Kisah Keberanian

Dan Millman menceritakan sebuah kisah yang benar-benar memberikan inspirasi pada dirinya untuk menjadi seorang yang cekal dan berani. Kisah tersebut berlaku semasa beliau bertugas sebagai sukarelawan di Hospital Stanford. Beliau mengenali seorang gadis kecil bernama Liza yang menderita suatu penyakit yang pelik dan sedang dalam keadaan tenat. Satu-satunya harapan untuk gadis kecil itu kembali pulih adalah dengan menerima transfusi darah daripada adik lelakinya yang berusia lima tahun yang dengan ajaibnya telah terselamat dari penyakit yang sama dengan tujuan untuk memanfaatkan antibodi yang telah terbina dalam darahnya untuk menentang penyakit berkenaan.

Doktor yang telah memberi penerangan kepada budak lelaki itu lalu bertanya mengenai kesanggupannya untuk mendermakan darah kepada kakaknya. Budak lelaki itu pada mulanya nampak khuatir, namun setelah menghela nafas berat, dia bersetuju. "Ya, saya sanggup lakukannya demi menyelamatkan Liza," ucapnya.

Semasa proses transfusi berjalan, kami semua memerhatikan budak lelaki itu dibaringkan bersebelahan dengan katil kakaknya. Dia tersenyum. Beberapa ketika kemudian wajahnya tiba-tiba berubah jadi muram dan pucat. Dia melihat kepada doktor dan bertanya, "Adakah saya akan mati sekarang?"

Sebagai seorang budak yang belum matang, dia tersalah anggap penerangan doktor dengan menyangka yang semua darahnya akan dipindahkan kepada kakaknya dalam proses transfusi berkenaan. Dia telah bersedia untuk menggadaikan nyawanya.

"Pada hari itu saya berlajar erti keberanian."

* Dipetik dan diolah dari buku Chicken Soup for the Soul (Jack Canfield & Mark Victor Hansen)

Miqa

Thursday, 14 November 2013

P. Ramlee, Getaran Jiwa Cover By Me!

Miqa here. As the title mentioned, this is the cover of my favourite P. Ramlee's song. I have been wanted to do this cover for so long. Now that I did it, it feels good. Not the best cover though. The background music is mix of electronic beats and piano and strings. I add a little choir harmony on second verse so it have fresh approach to the melody.

At first, I planned to make a video along with this, but I don't have much time because of other thing which is more important such as procrastination. Hopefully next time I able to do it.

So, yeah. I presented to you :



Thanks for listening!

Miqa

Monday, 11 November 2013

Adakah Kita Memberi Peluang?

Salam sejahtera. Para pembaca RealMiqa blog sekalian. Saya berharap anda dalam keadaan yang hebat. Bukan baik, tapi hebat! Post kali ini kita akan berbicara mengenai hubungan kita dengan orang sekeliling. Peluang? Adakah kita memberi peluang kepada orang lain? Memberi peluang kepada seseorang akan membuka banyak pintu potensi dan kemungkinan yang positif. Memberi peluang punyai manfaat yang lebih besar berbanding menghukum. Menghukum mungkin perlu dalam sesetengah situasi, namun dalam banyak keadaan, memberi peluang adalah pendekatan yang lebih sesuai. Mari lihat isu ini dari beberapa perspektif.


Kisah 1

Farhan cemas menggeledah beg sekolahnya. Semua rakan sekelas yang lain sudah pun menghantar kerja rumah yang diminta Cikgu Hashim. Tinggal dia seorang yang masih belum berbuat demikian. Puas dia mencari namun buku tersebut gagal ditemui. Farhan panik. Cikgu Hashim sedari tadi memerhatikannya dengan pandangan yang tajam. "Farhan! Mana kerja rumah kamu?" Soal Cikgu Hashim dengan suara yang lantang. Farhan menggigil. Cikgu Hashim bertubuh besar dan sangat garang. Farhan tidak berani mengangkat muka. "Disebabkan kamu tak bawa kerja rumah, saya anggap kamu tak buat. Sebagai denda, kamu berdiri di atas kerusi sepanjang kelas saya!" Arah Cikgu Hashim. Farhan dengan lutut menggeletar mendaki kerusinya. Wajahnya merah padam, tertunduk merenung lantai. Rakan-rakan yang lain memerhati setiap perbuatannya. Ada yang nakal pula, mentertawakannya dan membuat lawak jenaka. Semua ini membuatkan Farhan rasa terasing, malu, geram dan keliru. Hatinya terlalu sebak sehingga air matanya menitis. Dia teresak-esak. Melihat Farhan menangis, lebih rancak pula rakan-rakannya yang nakal itu membuat jenaka. Lima belas minit kemudian, pintu kelas diketuk. Cikgu Hashim mendapati seorang wanita tercegat di muka pintu. "Maaf mengganggu. Saya ibu Farhan. Saya datang nak serahkan kerja rumah dia yang tertinggal. Dia berusaha siapkannya sepanjang malam tapi terlupa nak masukkan ke dalam beg sewaktu nak ke sekolah," jelas wanita itu. Cikgu Hashim tergamam. 

Sekarang bayangkan andainya Cigu Hashim memberi peluang kepada Farhan.


Kisah 2

Pukul 11 malam. Encik Rosli seorang ahli jawatankuasa surau sedang berjalan pulang dari kedai kopi tiba-tiba terserempak dengan satu pasangan lelaki dan perempuan sedang duduk bersembang di atas kerusi di taman permainan. Tiada orang lain kelihatan di waktu itu. "Budak-budak bedebah! Tak habis-habis nak buat maksiat!" Jerkah Encik Rosli meluru ke arah pasangan tersebut. Wajahnya bengis. Perasaan marahnya meluap-luap. "Berani kamu buat kerja tak senonoh dalam kampung ni? Aku nak heret kamu ke surau, biar semua orang kampung tengok!" Gertak Encik Rosli mula menyingsing lengan. Pasangan tersebut cemas dan menggigil. "Tttt... Tapi kami adik beradik," jelas yang lelaki, gugup. "Bohong! Kamu ingat aku nak percaya cakap kamu?" Tempik Encik Rosli. Pasangan tersebut pucat ketakutan. Yang perempuan mula teresak-esak. Encik Rosli dengan segera menghubungi dua orang lagi rakannya untuk membawa pasangan tersebut ke surau. Sampai di surau, orang kampung sudah berhimpun. Masing-masing menggeleng kepala, malah mencaci maki pasangan itu. Ustaz Othman yang dihubungi segera datang untuk memastikan keadaan. "Saya nampak mereka berdua-duaan di taman. Kita tak boleh bagi muka sangat pada budak-budak ni!" Bentak Encik Rosli. Tiba-tiba muncul sepasang suami isteri dengan wajah panik. "Tolonglah Ustaz. Mereka ni adik beradik! Sejak kecil lagi mereka ni memang rapat. Ini hari pertama mereka berjumpa sejak si kakak pulang dari belajar di luar negara selama tiga tahun," terang si suami. Ustaz Othman terkedu. Encik Rosli tunduk memandang lantai.

Sekarang bayangkan kalau Encik Rosli memberi peluang dan mendengar penjelasan mereka.


Kisah 3

Khairul berpeluh-peluh. Dari satu restoran ke satu restoran dimasukinya untuk mempromosikan produk jualan langsung. Dia gigih mencuba namun tiada seorang pelanggan pun sudi mendengar penjelasan mengenai produk yang ditawarkannya. Dia dihalau dan kadangakala dimaki hamun. Lebih malang lagi kalau tuan kedai sendiri yang mengusirnya keluar. Setelah berkali-kali gagal, Khairul mula mengeluh. Dia rasa penat dan hampa. Dia mula mempersoalkan nasib hidupnya, terpaksa ke sana ke mari menjual produk yang tiada siapa mahu sedangkan orang lain bersenang lenang menjamu makanan. Dia hampir-hampir berputus asa. Tiba-tiba terdengar suara seorang wanita memanggilnya. Khairul menoleh. Wanita yang sedang minum sendirian itu melambai kepadanya. Khairul bergegas datang. "Dari tadi saya perhatikan awak ke sana ke mari cuba menjual produk. Awak masih senyum walaupun ditolak berkali-kali. Awak terus berusaha tanpa mengenal penat. Saya kagum dengan kesungguhan awak," jelas wanita itu. Wajah Khairul yang murung lalu bersinar semula. Semangatnya yang kian luntur kembali bercahaya. Rasa penatnya hilang digantikan dengan tenaga baru. Wanita itu bersetuju untuk membeli dua kotak produk dari Khairul sambil terus memberi galakan padanya untuk berusaha. Hari itu Khairul tidak berjaya menjual banyak produk, namun ia adalah suatu hari yang sangat bermakna buatnya.

Sekarang bayangkan jika semua orang terus menyisihkan peniaga jalanan seperti Khairul.

Tanpa kita sedar, dalam kehidupan sosial kita amat memerlukan satu sama lain. Apa yang kita sebut dan buat serta tindakan yang kita ambil memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan kehidupan orang lain secara langsung atau tidak langsung. Maka dalam membina sebuah masyarakat yang bermotivasi dan penyayang, adalah amat penting untuk kita berkongsi peluang untuk sebuah hasil yang positif. Berilah peluang kepada orang lain dan peluang akan datang kepada anda.

Jadilah pencinta, bukan pengadil.

Miqa

Thursday, 7 November 2013

Adakah Kita Lebih Baik Dari Yahudi?

Salam sejahtera kepada semua pembaca blog RealMiqa yang dihormati. Harap kalian semua sihat-sihat sahaja. Untuk entry kali ini kita akan menyelami isu yang sedikit berat tetapi menarik untuk dibincangkan. Harapan penulis akan ada tauladan dan manfaat yang dapat kita timba dari perkongsian ini. 

Jadi, adakah kita lebih baik dari Yahudi? Apa pendapat anda?



Siapakah Yahudi?

Seseorang boleh jadi Yahudi atau Bani Israel andai memiliki ciri-ciri Yahudi dari segi asal-usul, keturunan, puak dan agama. Susur galur keturunan Bani Israel dijejak sampai pada Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ishak A.S dan Nabi Yaakob A.S. Selain memiliki epik sejarah yang sangat panjang dan menarik, Bani Israel juga adalah bangsa yang sangat ramai diturunkan padanya Nabi dan Rasul. Antaranya yang masyhur seperti Nabi Yusuf A.S, Nabi Musa A.S, Nabi Harun A.S Nabi Daud A.S, Nabi Sulaiman A.S dan Nabi Isa A.S.

Apa yang membuat Yahudi berbeza dengan bangsa lain?

Selain dari memiliki ramai Nabi dan Rasul yang lahir dari kalangan bangsa mereka, Bani Israel juga masyhur dengan sikap mereka yang luar biasa ingkar, khianat dan licik. Dalam Al-Quran banyak diceritakan kisah-kisah keingkaran Bani Israel dan hukuman yang Allah turunkan buat mereka. Sejarah moden juga banyak menceritakan bagaimana bangsa Yahudi dihukum, dipulau dan dihina (baca : holocaust) dengan kejam oleh bangsa-bangsa lain. Malah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri juga pernah menghalau orang Yahudi keluar dari Madinah kerana memungkiri janji yang telah sama-sama dipersetujui. Sejahat-jahat (masukkan bangsa di sini), jahat lagi orang Yahudi? Adakah anda setuju dengan pernyataan ini?


Bagaimana Yahudi hari ini?

Yahudi hari ini masih lagi dengan sikap buruk mereka, tamak, ingkar, khianat dan licik. Bezanya, mereka telah belajar dari pengalaman mereka pada masa silam dan kini mereka berjaya menjadi bangsa yang gah, maju, kuat, dihormati dan kaya raya. Populasi mereka di seluruh dunia hanya 18 juta, namun kekuatan, pengaruh dan monopoli yang mereka miliki sama sekali tidakkan tercapai oleh bangsa lain. Musuh-musuh mereka yang terdiri dari umat Islam yang cuba bangkit mempertahankan agama, maruah dan hak akan ditekan, dibom dan ditembak lumat, manakala orang Islam Arab yang kaya raya pula sujud pada kuasa mereka. 



Namun adakah semua Yahudi itu jahat? Sudah tentu tidak. Bahkan bangsa Yahudi lebih banyak menyumbang kepakaran mereka dalam bidang sains, ekonomi, perubatan, kesusasteraan, dan keamanan kepada dunia berbanding bangsa-bangsa lain. Dan fakta ini disokong oleh jumlah penerima Nobel Prize, di mana 20% pemerimanya adalah dari kalangan bangsa Yahudi. Ini adalah suatu jumlah yang mengagumkan memandangkan hanya 0.2% sahaja bangsa Yahudi dalam populasi dunia (1 dalam 500). Muslim? Hanya 10 orang muslim (sehingga 2012) memenangi Nobel Prize, suatu jumlah yang teramat mengecewakan. Jelas di sini sumbangan bangsa Yahudi adalah amat besar terhadap kemajuan tamadun manusia berbanding bangsa lain. Jadi, adakah kita lebih mulia dari Yahudi?



Perniagaan Milik Yahudi

Adakala kita terdengar panggilan boikot dari pihak-pihak NGO pro-Palestin dan lain-lain supaya memboikot produk-produk milik syarikat Yahudi. Saya mahu anda pejamkan mata dan senaraikan produk atau jenama yang terlintas di fikiran anda. Hasil yang saya perolehi ialah; Calvin Klein, Polo Ralph Lauren, Starbucks, Nestle, Marvel, Warner Brother,  Microsoft, Google, Facebook, Levi's, Disney, Bloomberg, Citigroup. Syarikat di atas hanya segelintir sahaja dari milikan Yahudi yang menjana bertrilion-trilion dollar setiap tahun. Apakah persamaan lain antara syarikat-syarikat di atas? Mereka menjana peluang pekerjaan yang sangat banyak di seluruh dunia, dan ramai di kalangan pekerja mereka muslim! Kita mungkin tidak bersetuju dengan beberapa taktik perniagaan mereka seperti monopoli namun bayangkan berapa ramai pekerja yang mengambil manfaat dari budaya keusahawanan bangsa Yahudi ini. Syarikat Yahudi juga terkenal sebagai majikan yang baik yang mengambil berat hal ehwal kebajikan pekerja mereka. Starbucks misalnya, menawarkan insurans kesihatan percuma kepada pekerja mereka. Terdapat segelintir syarikat muslim yang menwarkan faedah dan kebajikan buat pekerja mereka, tapi adakah ini bermakna kita lebih baik dari Yahudi?



Semasa kita menghina dan memandang rendah bangsa Yahudi, hakikatnya mereka telah jauh pencapaiannya dalam segenap aspek dan pelbagai bidang meninggalkan kita terlalu jauh di belakang. Sedang negara kita berkemelut dengan isu rasuah dan salah guna kuasa yang tak sudah-sudah, mereka telah membina empayar dan merancang untuk menguasai dunia. Mengapa ini berlaku dan haruskah ini terus berlaku? Kita boleh menuding jari menyalahkan orang lain, namun masalah kita takkan selesai anda kita gagal mencari jawapan dalam diri sendiri.

Jadi, adakah kita lebih baik dari Yahudi?

Miqa



Saturday, 2 November 2013

Menegur Orang Badan Berbau

Miqa melapor diri untuk REALMIQA blog. Sumber informasi yang paling diyakini selepas Utusan Malaysia.

Kali ini kita membicarakan topik yang lebih serius dari yang lepas. Topik kali ini lebih memfokuskan isu keharmonian dan kesejahteraan masyarakat yang kebelakangan ini sering diancam dengan masalah badan berbau oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.



Pengalaman penulis sendiri ialah terperangkap dengan orang badan berbau di dalam lif. Akibatnya penulis hilang ingatan selama tiga bulan.

Masalah badan berbau boleh dijejak asal-usulnya sejak zaman Mesir purba. Pada ketika itu hamba abdi yang memprotes kezaliman firaun yang memaksa mereka membina piramid telah merancang penentangan secara rapi dan terancang iaitu dengan tidak mandi selama sebulan. Akibat bau badan yang sangat melampau membuatkan Firaun menghidap epilepsi.

Pada zaman ini, kita beruntung kerana terciptanya deodorant hasil rekaan Leonardo Da Vinci. Hasilnya, ketamadunan manusia berkembang dengan sangat pesat sehingga ke kemuncaknya iaitu gagasan 1Malaysia.



Walaubagaimanapun, masih terdapat sebilangan pihak tak bertanggung jawab cuba membangkitkan semula wabak purba ini ke dalam masyarakat. Merujuk kepada satu kajian yang dijalankan oleh sebuah universiti terkemuka asia dan paling ramai orang melayu iaitu Universiti Serenti, kegiatan tidak bertanggung jawab ini dipercayai di bawa masuk oleh pekerja-pekerja Bangladesh, Nepal dan Vietnam yang berniat jahat untuk menggugat kestabilan politik negara. Sebilangan besar mereka telah ditangkap dan dan dihukum dengan pemberian kerakyatan bagi menanamkan semangat patriotik dalam diri mereka.

Persoalannya sekarang, apakah tindakan anda apabila berhadapan dengan orang badan berbau? 

Menegur orang badan berbau seringkali menjadi kesulitan bagi sesetengah kita. Di sini penulis akan membentangkan beberapa cara yang utama yang boleh anda praktikkan.

Pertama : Menegur secara lisan.
- Tahap keberkesanan : 75%
- Risiko : Putus sahabat, dipukul, dibuang kerja

Secara lisan anda boleh menegur sama ada secara kasar seperti "Eh, babi mesti jeles dengan bau badan kau ini." Atau secara sopan iaitu "Mak kau beranakkan kau dalam longkang ke?"

Kedua : Menegur secara fizikal.
- Tahap keberkesanan : 50 %
- Risiko : Dilempang serta-merta

Secara fizikal anda boleh menegur dengan membeli sebotol deodorant lalu membaling botol tersebut ke kepala subjek semasa beliau sedang mengorek hidung. Anda juga boleh memilih untuk mengunci pintu jamban dari luar semasa subjek sedang buang air besar. Jangan lupa untuk putuskan bekalan air bagi mendapatkan kesan optimum.

Ketiga : Menegur secara psikologi.
- Tahap keberkesanan : 10 %
- Risiko : Tiada

Secara psikologi anda boleh berpura-pura diserang epilepsi atau menghentak kepala ke dinding setiap kali subjek berada berhampiran anda. Selain itu, anda dan rakan-rakan sepejabat digalakkan memakai gas mask sepanjang masa. Anda juga boleh berlakon menjadi zombie selepas keluar dari lif yang dinaiki bersama-sama subjek.




Keempat : Menegur secara online / social network.
- Tahap keberkesanan : 65 %
- Risiko : Unfriend / unfollow

Secara online anda boleh mengupload gambar-gambar yang hina dan jijik seperti gambar Rosmah dengan caption 'Bik Mama love you'. Jangan lupa tag nama subjek pada gambar berkenaan. Anda juga boleh merakam video parody bodoh seperti 'macam cantik je' tapi ditukar kepada 'macam babi je' bagi menepati tujuan asal.

Kesimpulannya, usaha bagi menurunkan indeks masalah bau badan di kalangan masyarakat haruslah didokong oleh semua pihak. Kerajaan sepatutnya meluluskan akta hukuman mandatori bagi mereka yang badan berbau atau ISA-kan saja mereka. Harga deodorant juga seharusnya dikawal bagi mengelakkan ia termasuk dalam kategori barangan mewah. Orang awam yang terserempak dengan individu badan berbau perlulah dengan segera menghubungi talian anti-dera dan memaklumkan bahawa diri anda telah teraniaya. Kemudian, hubungilah ibu-bapa di kampung untuk membuktikan kita seorang anak yang bertanggung jawab.

Sekian sahaja dari REALMIQA Blog.

Pembetulan : Leonardo Da Vinci tidak mencipta deodorant. Yang mencipta deodorant adalah Beethoven. Harap maklum.

P/S : Sila share.

Tuesday, 29 October 2013

Jangan Bicara Pasal Negara Maju Kalau Rakyat Masih Ramai Miskin Dan Tertindas

Salam sejahtera. Miqa melapor diri untuk REALMIQA Blog. Topik kali ini agak serius sikit. Kita akan berbiacara soal kenegaraan, kebajikan dan keadilan.

Sekian lama menjadi masalah dalam negara kita yang tercinta ini apabila pemimpin politik sibuk berbicara soal pembangunan, kemajuan, ekonomi, bina bangunan dan menara di sana-sini. Tapi mereka terlupa isu yang lebih utama yang menjadi tunjang kepada kedaulatan negara ini iaitu kebajikan rakyat.

Sibuk sangat nak maju, mereka lupa ada rakyat miskin yang masih mengemis. Sibuk sangat nak bina menara, mereka lupa ada rakyat yang hidup gelandangan. Sibuk sangat dengan ekonomi, mereka lupa ada rakyat yang masih tak cukup makan, dan anak-anak kecil kelaparan.

Yang lebih menakutkan, akibat sibuk nak membangun, mereka terlepas pandang graf kadar jenayah yang semakin mencanak. Kes tembak, bunuh, rompak dah jadi tetamu tetap di dada akhbar. Bagaimana pula dengan kes buang bayi yang kebanyakannya dari golongan bangsa melayu selain isu keruntuhan akhlak dan moral.

Inilah akibatnya kalau kita serahkan negara untuk ditadbir golongan bangsawan yang di minda mereka hanya memikirkan perniagaan, keuntungan, wang ringgit dan keduniaan. Golongan miskin dan mereka yang memerlukan akan terus terpinggir dan akhirnya menderita lalu membiakkan lebih banyak kes-kes jenayah. Akibatnya, pihak berkuasa seperti polis terpaksa bekerja lebih keras sehingga menggunakan senjata api semata-mata untuk mengawal keadaan. Semuanya disebabkan apa?

Negara tidak akan dapat mencapai kemajuan yang optimum selagi mana isu kebajikan rakyat bukan isu yang utama. Kadar kos sara hidup yang tinggi, harga barangan harian yang semakin mahal dan kuasa beli rakyat yang semakin kurang adalah petanda negara yang pemimpinya gagal dalam pentadbiran. Gagal, memalukan dan sangat hina sekali.

Kebodohan seperti ini harus ditamatkan sama sekali. Disaat rakyat menderita dengan pelbagai tekanan dari segi kos sara hidup yang kian mendesak, kita terus mendengar pembaziran demi pembaziran yang dilakukan kerajaan. Lihat saja kepada laporan audit negara yang jelas mbuktikan kelakuan jelik sang pemerintah.

KEBAJIKAN RAKYAT sepatutnya menjadi nombor satu dalam agenda pihak kerajaan. Rujuklah kepada negara-negara eropah seperti New Zealand, Switzerland, Denmark, Sweden, Finland, Canada dan Germany yang mana urus tadbir negara mereka lebih mesra rakyat. Jangan rujuk hanya bila nak naikkan harga minyak dan mengenakan cukai!!!



Malaysia sama sekali takkan menjadi negara maju selagi mana sistem ekonomi negara ini hanya mengenyangkan dan memenuhkan poket kroni-kroni sahaja.

Sekian.

Monday, 9 September 2013

Hail To The King - A7X Menjulang Metallica?

Miqa menulis. Post kali ni bukan untuk menghentam Avenged Sevenfold mengenai bunyi-bunyian dalam album baru mereka yang seakan lemas dalam bayangan Metallica. Bukan mengkritik tetapi 'membelasah' secara sihat. Album yang dipasarkan pada 27 Ogos yang lepas mengandungi 10 buah lagu dengan Hail To The King diangkat sebagai single pertama.

Kulit album pun nak tiru Metallica punya 'Black Album'? Grrr...

Sebaik sahaja Miqa selesai mendengar keseluruhan album ini, Miqa terfikir kenapa A7X perlu 'terjun' secara total dalam gelombang Metallica. Lima lagu pertama mambuktikan hal ini. Mereka kedengaran seakan lemas, hanyut tanpa originaliti sedangkan umum tahu yang mereka ini bukan calang-calang bakat. Tapi Miqa pasti mereka punyai alasan tersendiri terhadap perkara ini. 

Selain tempo yang lebih perlahan, struktur lagu mereka lebih ringkas malah kuat pula dengan elemen komersial. Album ini juga mungkin produk mereka yang paling banyak menggunakan elemen orkestra berbanding yang lepas-lepas. Walaubagaimanapun, ini bukan bererti muzik mereka tidak bagus, cuma sedikit mengejutkan. Peminat yang sebelum ini dihidangkan dengan lagu- lagu heavy seperti Not Ready To Die dan Carry On pastinya berasa kelainan yang ketara dengan keluaran terbaru kuartet dari USA ini.


Kitorang ni dah kaya nak mampus. Sukati la nak main style camane pon.

Jika anda mengharapkan korus yang catchy, Shepherd Of Fire, Doing Time, Crimson Day dan Coming Home adalah untuk anda. Double pedal drum attack tidak banyak kedengaran. Permainan drum Arin Ilejay seakan terhimpit dalam lagu-lagu yang 'guitar-driven' seperti Hail To The King dan This Means War. Petikan gitar solo Synyster Gates pula kedengaran sederhana sahaja. Jika anda mengharapkan duel solo seperti Bat Country, Scream dan Afterlife, anda akan kecewa. Apatah lagi lagu eksperimen seperti A Little Piece Of Heaven.

Yang paling menonjol dalam album ini adalah kekuatan vokal M. Shadows. Kedengaran beliau menyanyi dengan sangat selesa dan tidak lagi perlu bergantung kepada harmoni. Ketiaadaan The Rev mungkin menyumbang kepada perkara ini. Lirik juga telah dinukilkan dengan baik jika tidak puitis.

Kesimpulannya, album ini dengan jelas 'mencabar' peminat-peminat 'ol-skool' AX7 zaman Sounding the Seventh Trumpet dan Waking The Fallen. Ia walaubagaimanapun, tetap menjanjikan keistimewaan dan kelainan yang memang seharusnya ditampilkan oleh band yang telah matang seperti mereka. Ini adalah post The Rev's - Avenged Sevenfold.

Lagu Pilihan : Doing Time dan Crimson Day

Bintang : 3.5 / 5

P/S : RIP The Rev

Kisah Denda Dan Hukuman Sepanjang Zaman Persekolahan

Terima kasih kerana melayari Miqa blog. Post kali ini adalah mengenai kenangan kena denda di sekolah. Bukan nak mengkritik para guru yang berhati mulia, cuma sekadar nak imbas semula denda-denda dan hukuman yang pernah Miqa terima sepanjang zaman persekolahan.


Maaf, lupa gambar ni diambil dari blog mane.

Sepanjang persekolahan, Miqa telah menadah berbagai jenis hukuman sama ada dari para cikgu atau para senior yang bijaksana. Sebahagiannya telah pun Miqa ceritakan dalam post ini. Tapi itu hanya segelintir sahaja. Setakat buku kena lempar, berdiri atas kerusi atau di depan kelas dan kena cubit atau tarik sideburn, itu semua kecik-punya-hal. Mari bercerita kes yang lebih 'brutal'.

Semasa bersekolah asrama di tingkatan dua, Miqa telah berkawan dengan budak-budak nakal dan dengan selamba mengikuti mereka pergi mandi sungai selepas tamat kelas sedangkan waktu itu sepatutnya diisi dengan aktiviti ulangkaji. Semasa sedang terkinja-kinja berseronok bermain air, tiba-tiba muncul dua orang senior lalu mengarahkan kami semua naik ke tebing. Kami langsung diiring balik ke asrama dengan tidak berbaju. Sesampai di asrama, kami disuruh berdiri di tepi padang bagi mempamerkan wajah 'budak-budak nakal' keseluruh penghuni asrama. Kami lalu dikerah berlari mengelilingi padang sebanyak 20 pusingan. Selesai berlari, dengan keadaan termengah-mengah kami diarah masuk ke bilik ketua asrama yang juga seorang senior. Kami di maki dengan 'kaw-kaw' sebelum dirotan bertalu-talu pada bahagian betis oleh seorang pembantu ketua asrama yang bertubuh besar yang juga bekas 'abang angkat' Miqa. It was worth it.

Errmm... Lepas tu apa lagi ek? Ok, semasa di tingkatan lima Miqa sangat malas gunting rambut dan selalu kena tahan sebab berambut panjang, sekalipun Miqa seorang pengawas sekolah. Cikgu yang bertanggung jawab menjalankan hukuman tersebut adalah CIkgu Mohamad, guru pendidikan jasmani. Beliau bukan sahaja tampan dan segak, malah tegas dan cekap pula menjalankan tugas. Seingat Miqa, hampir tiga atau empat kali dia memotong rambut Miqa di khalayak ramai di atas kesalahan ini. Hendak dijadikan cerita, pada pagi waktu kelas pendidikan jasmani, beliau telah menjalankan 'spot-check' rambut dan kuku dan Miqa sekali lagi di tahan atas kesalahan berambut panjang. Apabila tiba giliran Miqa untuk dipotong rambut, Miqa memberontak dan enggan menurut arahan supaya duduk diam ketika proses pemotongan dijalankan. Setelah bertekak beberapa ketika, akhirnya Miqa diterajang oleh Cikgu Mohamad. Ya, terajang iaitu tindakan menendang atau menyepak menggunakan kaki. Waktu tu memang terasa nak bertumbuk sangat dah. Tapi bila melihat muka CIkgu Mohamad yang penuh cahaya keimanan itu, niat nak terajang balik langsung dibatalkan.

Kisah terakhir ini mungkin tersasar sedikit dari tajuk. Tapi Miqa janji, it's a nice story. Kembali ke tingkatan dua, subjek sejarah adalah subjek kegemaran Miqa ketika itu dan Cikgu Ramlah (bukan nama sebenar) adalah guru yang mengajar mata pelajaran sejarah. Beliau adalah seorang guru yang ceria dan peramah. Miqa sangat gembira setiap kali tiba waktu mata pelajaran sejarah. Miqa akan memberi sepenuh tumpuan apabila Ckgu Ramlah mengajar. Segala tugasan yang Cikgu Ramlah berikan akan Miqa laksanakan dengan sempurna dan Miqa selalunya menjadi orang pertama yang menghantar kerja rumah. Miqa juga selalu membantu Cikgu Ramlah untuk mengangkut buku-buku dari kelas ke bilik guru dan lain-lain hal. Miqa dan Cikgu Ramlah ketika itu agak mesra namun tidak lebih dari hubungan guru dan anak murid. Pada suatu petang, Miqa seperti biasa membantu Cikgu Ramlah mengangkut buku-buku dari kelas ke bilik guru. Apabila Miqa melangkah masuk ke bilik guru, entah mengapa cikgu-cikgu lain tersenyum-senyum. Miqa lalu terdengar cikgu-cikgu berkenaan berbisik-bisik "inilah budak yang suka kat Cikgu Ramlah tu. Kecik-kecik dah pandai..." Miqa tergamam. Buku yang bertimbun yang dikendong dihempas di atas meja. Dengan hati panas menggelegak, Miqa melangkah kembali ke kelas. Sejak dari peristiwa itu, sikap Miqa berubah 360 darjah terhadap kelas sejarah dan Cikgu Ramlah. Miqa tidak lagi menumpukan perhatian apabila Cikgu Ramlah mengajar. Kerja rumah sejarah Miqa biarkan terbengkalai. Apabila seluruh kelas berdiri untuk mengucap selamat kepada Cikgu Ramlah, Miqa duduk. Cikgu Ramlah banyak kali menegur sikap Miqa namun tetap tidak berubah.  Miqa langsung tak memandang lagi muka Cikgu Ramlah sehinggalah Miqa berpindah sekolah. Kepada Cikgu Ramlah, saya mohon maaf dan berharap Cikgu sihat dan sukses.

Whatever happen in school, stay in school (except SPM result. That shit follows you to the grave, maybe even afterlife). Walaupun ada kenangan pahit di zaman persekolahan, Miqa tetap merindui zaman tersebut. Kini apabila kita dah berusia, barulah kita sedar betapa seronoknya bersekolah dan selalu berharap dapat kembali menjadi pelajar. 

Well, you can go back to school if you're school teacher. 

Sekian sahaja buat kali ini. Hope you enjoy reading this small blog.

Thanks!

Miqa

Thursday, 29 August 2013

8 Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Apbila Mengalami Kemalangan

Miqa in da house! Kemalangan tidak berbau dan kadangkala mustahil untuk dielakkan. Memandangkan Miqa baru sahaja mengalami kemalangan pertama dalam tempoh tiga tahun, maka Miqa menyenaraikan lapan tindakan yang boleh anda lakukan apabila menghadapi ujian tuhan ini. Ini adalah berdasarkan pengalaman Miqa sendiri dan boleh dijadikan iktibar bagi semua pembaca budiman. Tiada gambar di dalam post kali ini kerana isu ini perlu di ambil serius.

Pertama : Apabila kenderaan anda dilanggar dan anda tahu anda tidak bersalah, keluarlah dari kenderaan anda dengan wajah bengis iaitu dengan mengerutkan dahi, mengembangkan lobang hidung dan menjelirkan lidah. Ini bertujuan untuk menakutkan pihak yang melanggar dan sekaligus membuktikan anda seorang samseng yang harus dihormati (Lihat cermin dan cuba sendiri).

Kedua : Sekiranya anda sedar bahawa anda yang bersalah, langkah pertama masih boleh diaplikasikan melainkan jika pemandu kenderaan yang anda hentam itu lebih gagah, bengis dan garang daripada anda bagi mengelakkan 'kontra-indikasi'. Dalam situasi ini, cubalah untuk melutut dan berguling-guling sambil berpura-pura menangis. Lafazkan kata-kata rayuan bagi meraih simpati seperti hutang PTPTN belum dilunaskan, atau bapak mertua minta hadiah hari jadi.

Ketiga : Andai berlaku kecederaan parah seperti hidung tersagat di side mirror atau siku terselit di celah stereng, maka memekiklah sekuat hati anda. Ini adalah penting bagi memastikan ambulan kecemasan tahu di mana lokasi anda selain mengurangkan kesakitan yang di alami.

Keempat : Jika kenderaan anda terlanggar haiwan ternakan seperti kuda, cipan dan beruang, tidak perlulah melaporkan kejadian berkenaan kepada penternak haiwan tersebut kerana ia akan merumitkan keadaan. Sebaliknya berjumpalah terus dengan keluarga, atau anak dan bini haiwan berkenaan dan maklumkan insiden yang telah berlaku kerana mereka lebih memahami.

Kelima : Sekiranya kenderaan anda terlanggar tiang lampu, pastikan syarikat pembekal yang membekalkan tiang lampu berkenaan dikenalpasti untuk dihubungi bagi menuntut ganti rugi di atas kerosakan yang telah dilakukan. Operator syarikat berkenaan mungkin akan memaki anda untuk sejam dua namun anda harus tegas mempertahankan hak anda sebagai pengguna jalan raya.

Keenam : Andainya kenderaan anda yang terbabas itu adalah jenis unik seperti basikal jepun atau skuter comel, berpura-puralah pitam sehingga orang ramai beredar dari tempat kejadian bagi mengelakkan cacian dan hinaan yang memalukan.

Ketujuh : Jika kaki atau anggota badan anda yang lain patah akibat kemalangan, segeralah merangkak atau berguling ke bahu jalan. Ini sangat penting untuk memastikan kelancaran perjalanan trafik. Anda perlu memikirkan kebajikan pengguna jalan raya lain. Mungkin ada diantara mereka perlu segera ke pejabat dan mungkin ada di antara mereka sudah tidak tahan untuk ke tandas. Jadilah mangsa kemalangan yang berhemah.

Kelapan : Sekiranya anda dengan tidak sengaja terlanggar kenderaan bos anda, sediakan surat perletakan jawatan dengan segera bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk. Tindakan yang sama juga boleh diambil sekiranya bos anda yang melanggar kenderaan anda.

Terima kasih. Miqa harap anda semua beroleh manfaat dari artikel kali ini.

Jadilah pemandu berhemah.

Saturday, 24 August 2013

Kenangan Paling Berharga Bersama METALLICA!

Miqa di sini. Dalam kehidupan ini, pasti terdapat satu pengalaman yang paling berharga yang sama sekali tidak akan dapat dilupuskan dari ingatan. Mungkin memori anda sewaktu pertama kali bertemu dengan kekasih atau pengalaman bercuti di tepi pantai dengan kawan-kawan karib.

Bagi Miqa, pengalaman yang paling bermakna dan berharga adalah sewaktu menyaksikan konsert Metallica LIVE di Kuala Lumpur. Sebagai peminat muzik, Metallica adalah band yang paling Miqa sanjung dan kagumi kerana muzik mereka yang hebat dan menakjubkan. Walaupun banyak band-band lain yang lebih 'power' seperti Iron Maiden, Slayer, Megadeth dan New Boyz, bagi Miqa Metallica tetap di nombor satu di dalam senarai kegemaran.


Kedatangan Metallica di Stadium Merdeka Kuala Lumpur tempoh hari umpama mimpi menjadi realiti. Miqa hampir tidak percaya dengan kenyataan dan hampir-hampir dimasukkan ke wad psikiatri kerana meracau sepanjang malam. Sebaik kedatangan Metallica diumumkan, Miqa dengan segera beratur di hadapan Fahrenheit Bukit Bintang untuk membeli tiket, walaupun sebenarnya boleh dibeli secara online. Tapi peminat Metallica yang sejati seperti Miqa haruslah beli tiket secara beratur kerana itulah tradisi turun-temurun yang perlu dipelihara. Miqa membeli tiket yang paling mahal iaitu RM680. Tiket ini membolehkan Miqa menonton di barisan paling hadapan sehingga membolehkan Miqa mencapai dan menarik kaki James Hetfield iaitu penyanyi band Metallica dan mencuri boot beliau untuk di bawa pulang. Habis duit elaun Miqa semata-mata untuk beli tiket konsert ni. Tapi tak mengapa sebab Miqa tak ade awek.


Tarikh 21 Ogos 2013 adalah tarikh keramat bagi seluruh peminat muzik metal di Malaysia dan penggemar Metallica khususnya. Sejak subuh lagi sudah ramai penonton yang melepak di sekitar Dataran Merdeka. Ada yang bawak khemah sebab datang dari jauh. Ada yang bawak gitar dan busking lagu Metallica seperti Nohing Else Matters dan Unforgiven di tepi-tepi longkang. Tidak ketinggalan peniaga-peniaga baju yang bersepah-sepah di merata-rata tempat, menjual baju t-shirt dengan lambang dan gambar Metallica. Meriah sungguh suasana. Miqa terkejut melihat sekumpulan pemuda berkopiah putih berlegar-legar di sekitar kawasan tersebut. Adakah mereka pencegah maksiat? Adakah mereka peminat Metallica yang sudah insaf? Oh, rupa-rupanya mereka adalah wakil dari Dewan Pemuda PAS Pusat yang turun meyampaikan dakwah dan peringatan kepada penonton konsert. Baguslah tu. Walaupun kita berhibur dengan lagu-lagu metal, ketaqwaan dan keimanan tetap dipelihara.


Seterusnya, pada pukul 8 malam, sekalian penonton dibenarkan masuk. Masing-masing kelihatan teruja dan excited nak mampos. Dipendekkan cerita, selepas habis persembahan dari band-band tempatan yang langsung tak best, kini tibalah giliran band terulung, METALLICA mengambil alih pentas yang gilang-gemilang! Seluruh bulu-bulu di tubuh Miqa meremang macam landak tatkala mendengar lagu intro keramat, The Ecstasy Of Gold berkumandang. Rasa macam nak menangis pun ada. Tatkala melihat kelibat James Hetfield, Kirk Hammet, Lars Ulrich dan Robert Trujillo tampil dengan senjata masing-masing, air mata Miqa berderai. Miqa menangis macam budak kecik sepanjang persembahan lagu Hit The Lights. Apabila lagu kedua iaitu Master Of Puppet dimainkan, Miqa secara automatik melompat-lompat macam gorilla dan menyanyikan lirik dengan penuh perasaan. "OBEY YOUR MASTER! MASTERRRR!" Pekik Miqa macam orang terkena sawan.


Lagu seterusnya ialah Holier Than Thou dan kemudiannya Ride The Lightning. Paling best ialah semasa persembahan lagu The Memory Remains di mana seluruh penonton sama-sama menyanyikan bridge 'Nananana... Nanana' dengan sepenuh perasaan. Ia adalah suatu suasana yang penuh dengan emosi. Bayangkan akhirnya anda berpeluang menyaksikan band yang anda puja sejak dari kecil, kini tampil di depan mata dan memainkan lagu-lagu yang sekian lama telah menjadi sebahagian dari diri anda. 


Persembahan dilanjutkan dengan lagu-lagu hits seperti Cyanide, Sanitarium, Sad But True, ...And Justice For All, One, For Whom The Bells Toll, Blackened dan Nothing Else Matters. Sewaktu riff lagu Enter Sandman dimainkan, seluruh penonton macam naik gila. Rasa penat dan letih setelah terkinja-kinja selama setengah jam, hilang dan semangat baru bagaikan meresap ke dalam tubuh. "Exit Light, Enter Night. Take my hand. We're off to never-neverland!" Pergh! Memang terbaik!

Lagu seterusnya adalah dari album Ride The Lightning iaitu Creeping Death dan Fight Fire With Fire. Kedua-duanya adalah personal-favourite Miqa. BEST!

Setelah dua jam 'bertempur' dengan muzik Metallica akhirnya tibalah kami di babak penghujung. Lagu terakhir yang disampaikan pada malam itu adalah lagu yang sangat sinonim dengan Metallica. Tak lain tak bukan, Seek And Destroy. Sekalian penonton tak kira tua dan muda sama-sama menyanyikan lirik  korus macam satu keluarga besar dalam majlis reunion.

Sebaik tamat persembahan konsert, masing-masing perlahan-lahan berarak keluar stadium dengan wajah lesu namun penuh kepuasan. Pengalaman paling berharga telah pun terukir di dalam jiwa untuk dikenang sampai mati dan diceritakan kepada anak cucu di kemudian hari.


Di saat semua menjangkakan persembahan telah berakhir, suatu kejutan berlaku! Metallica kembali ke pentas! Sekalian penonton tercengang dan bertempiaran kembali masuk ke dalam stadium. James Hetfield mengumumkan bahawa mereka akan menyampaikan sebuah lagu terakhir dari album terbaru mereka yang bakal dilancarkan tak lama lagi. Lagu tersebut berjudul RING!

Miqa teruja bagai nak gila. Lagu baru dari album baru? Ini sudah BAGUS!

RING!

RING!

RING!

Lagu tersebut agak pelik kerana bunyinya seakan loceng.

RING!

RING!

RING!

RRRIIIINNNNNNNNNGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGG!!!

Miqa tersedar. Jam loceng yang menjerit di sudut meja segera dimatikan.

MIMPI??? 

Ya, semuaya adalah mimpi belaka! Anda semua dah kena tipu! TIPU!!! BURRNNNNNNN!!!

GAHAHAHAHAHA!!!

Sekian catatan dari blog merepek ini.


Miqa