Thursday, 29 August 2013

8 Perkara Yang Perlu Anda Lakukan Apbila Mengalami Kemalangan

Miqa in da house! Kemalangan tidak berbau dan kadangkala mustahil untuk dielakkan. Memandangkan Miqa baru sahaja mengalami kemalangan pertama dalam tempoh tiga tahun, maka Miqa menyenaraikan lapan tindakan yang boleh anda lakukan apabila menghadapi ujian tuhan ini. Ini adalah berdasarkan pengalaman Miqa sendiri dan boleh dijadikan iktibar bagi semua pembaca budiman. Tiada gambar di dalam post kali ini kerana isu ini perlu di ambil serius.

Pertama : Apabila kenderaan anda dilanggar dan anda tahu anda tidak bersalah, keluarlah dari kenderaan anda dengan wajah bengis iaitu dengan mengerutkan dahi, mengembangkan lobang hidung dan menjelirkan lidah. Ini bertujuan untuk menakutkan pihak yang melanggar dan sekaligus membuktikan anda seorang samseng yang harus dihormati (Lihat cermin dan cuba sendiri).

Kedua : Sekiranya anda sedar bahawa anda yang bersalah, langkah pertama masih boleh diaplikasikan melainkan jika pemandu kenderaan yang anda hentam itu lebih gagah, bengis dan garang daripada anda bagi mengelakkan 'kontra-indikasi'. Dalam situasi ini, cubalah untuk melutut dan berguling-guling sambil berpura-pura menangis. Lafazkan kata-kata rayuan bagi meraih simpati seperti hutang PTPTN belum dilunaskan, atau bapak mertua minta hadiah hari jadi.

Ketiga : Andai berlaku kecederaan parah seperti hidung tersagat di side mirror atau siku terselit di celah stereng, maka memekiklah sekuat hati anda. Ini adalah penting bagi memastikan ambulan kecemasan tahu di mana lokasi anda selain mengurangkan kesakitan yang di alami.

Keempat : Jika kenderaan anda terlanggar haiwan ternakan seperti kuda, cipan dan beruang, tidak perlulah melaporkan kejadian berkenaan kepada penternak haiwan tersebut kerana ia akan merumitkan keadaan. Sebaliknya berjumpalah terus dengan keluarga, atau anak dan bini haiwan berkenaan dan maklumkan insiden yang telah berlaku kerana mereka lebih memahami.

Kelima : Sekiranya kenderaan anda terlanggar tiang lampu, pastikan syarikat pembekal yang membekalkan tiang lampu berkenaan dikenalpasti untuk dihubungi bagi menuntut ganti rugi di atas kerosakan yang telah dilakukan. Operator syarikat berkenaan mungkin akan memaki anda untuk sejam dua namun anda harus tegas mempertahankan hak anda sebagai pengguna jalan raya.

Keenam : Andainya kenderaan anda yang terbabas itu adalah jenis unik seperti basikal jepun atau skuter comel, berpura-puralah pitam sehingga orang ramai beredar dari tempat kejadian bagi mengelakkan cacian dan hinaan yang memalukan.

Ketujuh : Jika kaki atau anggota badan anda yang lain patah akibat kemalangan, segeralah merangkak atau berguling ke bahu jalan. Ini sangat penting untuk memastikan kelancaran perjalanan trafik. Anda perlu memikirkan kebajikan pengguna jalan raya lain. Mungkin ada diantara mereka perlu segera ke pejabat dan mungkin ada di antara mereka sudah tidak tahan untuk ke tandas. Jadilah mangsa kemalangan yang berhemah.

Kelapan : Sekiranya anda dengan tidak sengaja terlanggar kenderaan bos anda, sediakan surat perletakan jawatan dengan segera bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk. Tindakan yang sama juga boleh diambil sekiranya bos anda yang melanggar kenderaan anda.

Terima kasih. Miqa harap anda semua beroleh manfaat dari artikel kali ini.

Jadilah pemandu berhemah.

Saturday, 24 August 2013

Kenangan Paling Berharga Bersama METALLICA!

Miqa di sini. Dalam kehidupan ini, pasti terdapat satu pengalaman yang paling berharga yang sama sekali tidak akan dapat dilupuskan dari ingatan. Mungkin memori anda sewaktu pertama kali bertemu dengan kekasih atau pengalaman bercuti di tepi pantai dengan kawan-kawan karib.

Bagi Miqa, pengalaman yang paling bermakna dan berharga adalah sewaktu menyaksikan konsert Metallica LIVE di Kuala Lumpur. Sebagai peminat muzik, Metallica adalah band yang paling Miqa sanjung dan kagumi kerana muzik mereka yang hebat dan menakjubkan. Walaupun banyak band-band lain yang lebih 'power' seperti Iron Maiden, Slayer, Megadeth dan New Boyz, bagi Miqa Metallica tetap di nombor satu di dalam senarai kegemaran.


Kedatangan Metallica di Stadium Merdeka Kuala Lumpur tempoh hari umpama mimpi menjadi realiti. Miqa hampir tidak percaya dengan kenyataan dan hampir-hampir dimasukkan ke wad psikiatri kerana meracau sepanjang malam. Sebaik kedatangan Metallica diumumkan, Miqa dengan segera beratur di hadapan Fahrenheit Bukit Bintang untuk membeli tiket, walaupun sebenarnya boleh dibeli secara online. Tapi peminat Metallica yang sejati seperti Miqa haruslah beli tiket secara beratur kerana itulah tradisi turun-temurun yang perlu dipelihara. Miqa membeli tiket yang paling mahal iaitu RM680. Tiket ini membolehkan Miqa menonton di barisan paling hadapan sehingga membolehkan Miqa mencapai dan menarik kaki James Hetfield iaitu penyanyi band Metallica dan mencuri boot beliau untuk di bawa pulang. Habis duit elaun Miqa semata-mata untuk beli tiket konsert ni. Tapi tak mengapa sebab Miqa tak ade awek.


Tarikh 21 Ogos 2013 adalah tarikh keramat bagi seluruh peminat muzik metal di Malaysia dan penggemar Metallica khususnya. Sejak subuh lagi sudah ramai penonton yang melepak di sekitar Dataran Merdeka. Ada yang bawak khemah sebab datang dari jauh. Ada yang bawak gitar dan busking lagu Metallica seperti Nohing Else Matters dan Unforgiven di tepi-tepi longkang. Tidak ketinggalan peniaga-peniaga baju yang bersepah-sepah di merata-rata tempat, menjual baju t-shirt dengan lambang dan gambar Metallica. Meriah sungguh suasana. Miqa terkejut melihat sekumpulan pemuda berkopiah putih berlegar-legar di sekitar kawasan tersebut. Adakah mereka pencegah maksiat? Adakah mereka peminat Metallica yang sudah insaf? Oh, rupa-rupanya mereka adalah wakil dari Dewan Pemuda PAS Pusat yang turun meyampaikan dakwah dan peringatan kepada penonton konsert. Baguslah tu. Walaupun kita berhibur dengan lagu-lagu metal, ketaqwaan dan keimanan tetap dipelihara.


Seterusnya, pada pukul 8 malam, sekalian penonton dibenarkan masuk. Masing-masing kelihatan teruja dan excited nak mampos. Dipendekkan cerita, selepas habis persembahan dari band-band tempatan yang langsung tak best, kini tibalah giliran band terulung, METALLICA mengambil alih pentas yang gilang-gemilang! Seluruh bulu-bulu di tubuh Miqa meremang macam landak tatkala mendengar lagu intro keramat, The Ecstasy Of Gold berkumandang. Rasa macam nak menangis pun ada. Tatkala melihat kelibat James Hetfield, Kirk Hammet, Lars Ulrich dan Robert Trujillo tampil dengan senjata masing-masing, air mata Miqa berderai. Miqa menangis macam budak kecik sepanjang persembahan lagu Hit The Lights. Apabila lagu kedua iaitu Master Of Puppet dimainkan, Miqa secara automatik melompat-lompat macam gorilla dan menyanyikan lirik dengan penuh perasaan. "OBEY YOUR MASTER! MASTERRRR!" Pekik Miqa macam orang terkena sawan.


Lagu seterusnya ialah Holier Than Thou dan kemudiannya Ride The Lightning. Paling best ialah semasa persembahan lagu The Memory Remains di mana seluruh penonton sama-sama menyanyikan bridge 'Nananana... Nanana' dengan sepenuh perasaan. Ia adalah suatu suasana yang penuh dengan emosi. Bayangkan akhirnya anda berpeluang menyaksikan band yang anda puja sejak dari kecil, kini tampil di depan mata dan memainkan lagu-lagu yang sekian lama telah menjadi sebahagian dari diri anda. 


Persembahan dilanjutkan dengan lagu-lagu hits seperti Cyanide, Sanitarium, Sad But True, ...And Justice For All, One, For Whom The Bells Toll, Blackened dan Nothing Else Matters. Sewaktu riff lagu Enter Sandman dimainkan, seluruh penonton macam naik gila. Rasa penat dan letih setelah terkinja-kinja selama setengah jam, hilang dan semangat baru bagaikan meresap ke dalam tubuh. "Exit Light, Enter Night. Take my hand. We're off to never-neverland!" Pergh! Memang terbaik!

Lagu seterusnya adalah dari album Ride The Lightning iaitu Creeping Death dan Fight Fire With Fire. Kedua-duanya adalah personal-favourite Miqa. BEST!

Setelah dua jam 'bertempur' dengan muzik Metallica akhirnya tibalah kami di babak penghujung. Lagu terakhir yang disampaikan pada malam itu adalah lagu yang sangat sinonim dengan Metallica. Tak lain tak bukan, Seek And Destroy. Sekalian penonton tak kira tua dan muda sama-sama menyanyikan lirik  korus macam satu keluarga besar dalam majlis reunion.

Sebaik tamat persembahan konsert, masing-masing perlahan-lahan berarak keluar stadium dengan wajah lesu namun penuh kepuasan. Pengalaman paling berharga telah pun terukir di dalam jiwa untuk dikenang sampai mati dan diceritakan kepada anak cucu di kemudian hari.


Di saat semua menjangkakan persembahan telah berakhir, suatu kejutan berlaku! Metallica kembali ke pentas! Sekalian penonton tercengang dan bertempiaran kembali masuk ke dalam stadium. James Hetfield mengumumkan bahawa mereka akan menyampaikan sebuah lagu terakhir dari album terbaru mereka yang bakal dilancarkan tak lama lagi. Lagu tersebut berjudul RING!

Miqa teruja bagai nak gila. Lagu baru dari album baru? Ini sudah BAGUS!

RING!

RING!

RING!

Lagu tersebut agak pelik kerana bunyinya seakan loceng.

RING!

RING!

RING!

RRRIIIINNNNNNNNNGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGGG!!!

Miqa tersedar. Jam loceng yang menjerit di sudut meja segera dimatikan.

MIMPI??? 

Ya, semuaya adalah mimpi belaka! Anda semua dah kena tipu! TIPU!!! BURRNNNNNNN!!!

GAHAHAHAHAHA!!!

Sekian catatan dari blog merepek ini.


Miqa

Sunday, 4 August 2013

Miqa Instrumental : The Last Of Dreams

This song was created long time ago. It is one of my many original instrumentals. What I like about it is the hollow and haunted keyboard sound on the main chorus which reflects my thought about loneliness and time. It also have a sad and hopeful feeling to it. The original idea comes with vocal, but I removed it because it because I think the keyboard loop already have a strong hook on it. So I leave it just like this. 

This song is not for 'lyrics-song-lover' people. But music is much more than what human voice can sing. It's what you feels that matter. So, I presented to all of you, The Last Of Dreams.


Saturday, 3 August 2013

Miqa Diratah Anjing Liar

Terima kasih kerana melayari blog Real Miqa. Maaf kerana jarang kemas-kini. Kebelakangan ini agak sibuk dengan aktiviti buat-buat sibuk. You know, college and stuff.

Kali ni nak cerita pengalaman Miqa diratah anjing liar. Ya, pengalaman ni sangat berharga sebab bukan semua orang ada peluang untuk dibaham anjing. Apatah lagi dengan isu kontroversi yang dimainkan oleh madia arus perdana kebelakangan ini. Kalau isu berkaitan anjing, babi, seks serta liwat sememangnya akan mendapat tempat diruang utama media massa selain artikel mengampu.

Berbalik kepada kisah dibaham anjing, tragedi ini berlaku lebih kurang 5 ke 6 tahun sudah di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar. Hari tu ialah hari Jumaat. Sebaik bersiap-siap, Miqa pun berjalan seorang diri menuju ke masjid yang jaraknya hampir separuh kilometer dari asrama. Dalam perjalanan, terpaksa melintasi padang bola yang dipinggirnya terdapat kawasan perumahan cina. Tak ramai orang yang bersama-sama Miqa pergi ke masjid pada ketika itu kerana masih awal waktu.


Cara memakai kain pelikat

Semasa sedang berjalan melintasi padang bola, tiba-tiba kedengaran salakan anjing bersahut-sahutan dari arah perumahan cina. Mula-mula buat tak tahu je, tapi mula jadi panik bila nampak tiga ekor anjing memecut ke arah Miqa. Bukan satu tapi TIGA! Masing-masing kelihatan buas dan lapar dengan taring sedia menerkam.


WARRRRRKHHHHHH!!!!!!!

Pada saat itu, memang tak ingat apa dah, terus angkat kain dan lari lintang-pukang. Gelabah campur cemas tak payah cerita. Tiga ekor anjing tadi terus kejar macam zombie dalam filem ZOMBIELAND, membuatkan Miqa lari tak cukup tanah. Usain Bolt pun terkesima agaknya kalau tengok Miqa lari waktu itu.


Setelah lari hampir tujuh pusingan sekeliling padang, akhirnya peha Miqa dibaham salah seekor anjing yang paling besar berwarna kuning. Miqa merintih sakit namun terus juga berlari sedang darah mula memancut keluar. Pada waktu itu kedengaran salah seorang sahabat yang memerhati dari jauh berteriak "JANGAN LARI! JANGAN LARI!!!"

Miqa serta-merta mematikan langkah dengan hati pasrah. 

Anehnya, ketiga-tiga ekor anjing tersebut juga turut berhenti. Seperti Miqa, mereka juga kelihatan kepenatan dan tercungap-cungap. Miqa terpaku di situ, sambil memerhatikan ketiga-tiga ekor anjing itu memerhatikan Miqa. Kami berbalas pandangan untuk beberapa saat. Kemudian kedengaran satu suara memanggil anjing-anjing berkenaan. Kemungkinan tuan punya anjing itu memanggil mereka untuk makan tengahari. Serentak dengan itu, anjing-anjing berkejar-kejaran kembali ke tempat mereka. Miqa rebah sendirian di situ, menangis tanpa lagu. Hasrat ke masjid untuk solat Jumaat, langsung terbantut. Perlahan-lahan Miqa bangkit sambil membetulkan kain pelikat yang hampir terlucut, lalu terhincut-hincut kembali ke asrama.

Miqa kemudiannya terus ke Hospital Alor Setar dengan ditemani Roy Jantan, room-mate Miqa waktu itu. Miqa diberi suntikan Rabies sebagai langkah pencegahan jangkitan. Luka kesan gigitan anjing tadi turut dicuci dan dibalut sebelum kami pulang semula ke asrama.

Sejak itu, Miqa dikenali sebagai 'DOG-BOY' di asrama. Kalau ada yang tak puas hati dengan Miqa, mereka hanya perlu menyalak macam anjing untuk menyindir atau memalukan Miqa. It's hurt. But maybe I deserve it.

Miqa tak buat sebarang laporan berkenaan anjing-anjing tadi kepada pihak berkuasa, sebab tak tahu nak laporkan pada siapa. Cuma harapan Miqa kepada pemilik anjing, please don't skip your dogs meal, or they will eat human.

Itu sahaja untuk kali ini. Terima kasih sebab membaca.

Miqa

P/S : Selamat HARI RAYA!