What's up world? Miqa di sini.
Dah lama sebenarnya niat di hati nak cover lagu Cat Steven ni. Wild World adalah salah satu lagu terbaik beliau. Miqa menggubah lagu ini dengan menukar semua instrumen akustik kepada elektronik. Melodi masih masa. Mungkin feel-nya sedikit berbeza.
Harap-harap tiada peminat Cat Steven yang marah dengan cover ni.
That's all. Terima kasih.
Klik di bawah untuk lagu.
Friday, 19 July 2013
Thursday, 18 July 2013
Karya Fiksyen : Mimpi Mimpi Ngeri
Tajuk : Mimpi Mimpi Ngeri
Penulis : Miqa
Genre : Seram / Fantasi
Suasana kelam malam itu bertukar silau-kemilau. Bunyi yang memekakkan telinga kedengaran memecah keheningan malam serentak dengan gegaran yang kuat di tanah. Hanis tergamam tatkala melihat kelibat sebuah gerabak keretapi tiba-tiba muncul memecut dengan sangat laju ke arahnya. Tubuhnya menggeletar. Dia seakan tak boleh mempercayai matanya. Dia cuba untuk menjerit namun mulutnya bagai terkunci. Dia cuba berlari namun kakinya bagai terikat. Apa yang mampu dilakukan hanya melihat dengan mata membulat, di saat gerabak keretapi itu hanya tinggal beberapa inci sahaja jaraknya.
TIDAK!!!
Hanis beristighfar berkali-kali. Nafasnya turun naik dengan kencang. Gadis berusia awal dua puluhan itu mencapai segelas minuman di bucu meja sebelum meneguk dengan rakus. Mimpi yang dilaluinya terlalu menggerunkan, dan masih terakam kemas diingatannya.
Dia lalu bangkit dari katil menuju ke bilik air di penjuru kamar. Sebaik menekan suis lampu, Hanis melangkah masuk sebelum mendapati beberapa tompokan cecair merah di lantai.
"Ya Allah! Darah!" Hanis menekup mulutnya. Di hadapannya kelihatan beberapa bangkai makhluk yang mengerikan. Darah likat yang kering berlumuran di segenap ruang. Ulat berengga berkeliaran merata-rata. Bau busuk dan hanyir menusuk rongga hidung, sangat-sangat meloyakan. Gadis itu menggeletar seluruh badan. Rasa ingin muntah yang menekan di kerongkong semakin tidak tertahan.
Hanis berlari kembali ke katil. Dia langsung merebahkan diri di atas tilam empuk. Matanya dipejam rapat-rapat. Harapannya adalah semua ini hanyalah igauan.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Hanis bagaikan gugur jantung mendengarnya. Dia berbelah bahagi samada untuk membuka pintu tersebut atau terus bersembunyi di bawah selimut. Sayup-sayup kedengaran suara kecil, seakan budak perempuan memanggil-manggil namanya. Entah mengapa tubuhnya bagai terheret untuk membuka pintu bilik itu, seakan wujud sesuatu yang mendorongnya.
Tombol pintu dipulas, daun pintu di buka. Rasa ngeri dan dingin serta-merta menyelubungi seluruh tubuhnya. Di hadapannya kelihatan susuk seorang budak perempuan lingkungan usia enam tahun. Wajahnya pucat seakan mayat. Hanis tergamam melihat baju gaun putihnya yang compang-camping dengan kesan darah dan kotoran di muka dan seluruh badannya. Budak perempuan itu sama sekali tidak bergerak, hanya ekor matanya merenung dalam dan tajam seakan ingin merobek matanya.
"Kau siapa?" Soal Hanis gugup.
Budak perempuan itu membuka mulutnya perlahan-lahan. Darah merah yang likat tiba-tiba mengalir keluar dengan banyaknya sehingga melimpah ke atas pakaiannya.
Hanis memekik ketakutan.
"Aku adalah KAU!" ucap budak perempuan itu dengan suara yang amat mengerikan.
Serentak dengan itu, Hanis merasakan darah likat menyembur keluar dari mulut, hidung, telinga dan matanya. Pedihnya bukan alang-kepalang. Seluruh kepalanya dirasakan bagai hancur berkecai akibat deras dan banyaknya darahnya keluar. Azab yang tidak terperi.
"YA ALLAH!!!"
Hanis mengucap panjang. Dadanya berombak dengan nafas yang tercungap-cungap. Dia menoleh sekeliling. Ternyata dia masih di dalam biliknya, di atas katil tilam empuk dengan selimut yang hangat membalut tubuh. Dia lalu mencapai segelas air di bucu meja lalu diteguk dengan rakus.
'Mimpi dalam mimpi?' Hanis termanggu bingung. Mimpi itu dirasakan seakan benar-benar berlaku. Ketakutan dan rasa ngeri yang dialaminya masih berbekas. Tubuhnya masih lagi menggigil. Matanya tidak mahu lagi dipejamkan. Sendirian dia termenung kosong sehingga mentari terbit.
***
Dr. Amar mengangguk berkali-kali. Pena di di jemarinya menari-nari mencatit sesuatu pada kertas nota. Sesekali dia membetulkan cermin matanya dan menguis dagu. Wajah sugul Hanis direnung sejenak. Pena di jemarinya lalu dilepaskan.
"Jadi, Cik Hanis kata semua mimpi tu terasa seakan benar-benar berlaku?" soal Dr. Amar.
Hanis mengangguk lesu.
Dr. Amar tersenyum. Senyumannya sedikit berbaur sinis.
"Doktor tak percaya dengan semua yang saya cakap?" soal Hanis berang.
"Bukan saya tak percaya," jawab Dr. Amar tersengih. "Tapi mimpi buruk ini adalah perkara biasa. Tak perlulah Cik Hanis fikirkan sangat. Lambat laun semuanya akan hilang. Saya dah pernah merawat berpuluh-puluh pesakit seperti Cik Hanis. Jadi Cik Hanis tak perlulah bimbang sangat."
Hanis bangkit dari kerusi. Hatinya disentap amarah. "Doktor jangan samakan masalah saya dengan pesakit-pesakit lain!" tempiknya.
"Bawa bertenang Cik Hanis," pujuk Dr. Amar cemas.
"Kau dengar baik-baik! Aku rasa bagai dibunuh berkali-kali dalam mimpi tu, dan kau duduk di sini menganggap semuanya perkara biasa?" Soal Hanis dengan nada kuat. Dia kelihatan semakin hilang kawalan. Matanya merah. Wajahnya bengis. Rambut panjangnya yang kusut masai mengerbang. Nafasnya cepat dan buas. Tangannya lalu menyeluk beg tangan dan mengeluarkan suatu objek runcing.
"Aku nak buat kau rasakan apa yang aku rasa!"
"Cik Hanis... Bawa bersabar. Letakkan pisau tu di bawah. Kita boleh berbincang lagi mengenai perkara ni," rayu Dr. Amar panik. Jantungnya berdegup pantas tatkala gadis itu mula mengacu pisau tersebut ke arahnya.
Hanis ketawa terbahak-bahak tidak ubah seakan terkena rasukan. "Bincang? Semuanya dah terlambat. Hari ni kau akan mati di tangan aku!" Jerit gadis itu seraya menerpa ke arah Dr. Amar.
"Ya Allah!" jerit Dr. Amar tatkala mata pisau mula membenam di dadanya. Kepedihan yang dirasai tidak tertanggung. Darah merah panas mula mengalir keluar. "Hanis... Lepaskan saya... Ampunkan saya!" Rayu doktor berusia pertengahan tiga puluhan itu.
Hanis mengilai ketawa. "Hahaha! Sakit bukan. Ini hanya permulaan!" Gadis itu lantas mencabut keluar pisau yang berlumuran darah itu lalu membenamkannya pula ke perut Dr. Amar.
"ALLAH!" Rintih Dr. Amar. Isi perutnya rasa seakan terburai. Rasa pedih dan sakit menjalar ke seluruh tubuh badannya.
Hanis mencabut semula pisau tersebut dan terus menikam batang tubuh Dr. Amar berulang kali. Tiada secalit pun rasa kasihan belas di wajahnya. Hanya senyuman ngeri dan dengusan amarah yang kedengaran. Darah merah likat memancut dan menyembur ke dinding lalu mengalir ke lantai.
Tikaman demi tikaman terus dihayunkan dengan semahu-mahunya. Tubuh Dr. Amar lunyai dan hancur sama sekali. Organ-organ dalamannya terkeluar dan pecah. Dia terkulai tidak bernyawa. Hanis menyaksikannya dengan megah. Dia mengilai ketawa sambil merenung kedua tangannya yang berlumuran darah.
"Hahaha! Mati kau jahanam!"
Hanis lalu mencapai pisau di lantai. Senjata itu diperhatikannya beberapa ketika. Darah yang melekat di bilahnya lalu dijilat penuh ghairah. Dia lalu berbisik sendiri, "Sekarang giliran aku pula!"
Hanis seraya membenamkan pisau tersebut tepat di bahagian jantungnya. Gadis itu meraung semahu-mahunya menanggung azab. Darah yang tersembur keluar bercampur dengan darah Dr. Amar. Dia menarik-narik rambut menahan seksa sebelum rebah di sisi jenazah Dr. Amar. Di saat-saat terakhir itu dia masih mampu tersenyum. Bilah pisau masih tercacak didadanya di saat dia menghembuskan nafas terakhir.
Dr. Amar meraung ketakutan. Wajahnya pucat dan dibasahi peluh. Nafasnya kencang seakan dikejar sesuatu. Dia memerhati sekeliling mendapati dirinya masih di atas katil pesakit. Dia lalu menyapu mukanya sambil beristighfar.
"Dr. Amar tak apa-apa?" Tanya Sofie, jururawat bertugas malam itu. "Saya rasa macam terdengar doktor menjerit semasa saya bertugas di kaunter tadi."
Dr. Amar mengawal nafasnya. "Saya okey. Cuma mimpi buruk sahaja." Jawabnya.
"Ohh. Itulah. Lain kali jangan sekali-kali tidur di atas katil pesakit," balas Sofie tersenyum.
Dr. Amar seraya turun dari katil itu. Dia termenung sejenak. Semua mimpi yang dialaminya kembali bermain difikiran.
"Sofie, siapa yang terakhir sekali menggunakan katil ini?" Soal Dr. Amar.
"Emm, tak silap saya seorang gadis awal dua puluhan. Dia cedera parah dan keadaannya sangat kritikal akibat cubaan membunuh diri. Sebelum cuba membunuh diri, dia terlebih dahulu membunuh seluruh ahli keluarganya. Menurut rekod, dia ada sejarah tekanan perasaan yang melampau," terang Sofi.
Dr. Amar mengangguk perlahan. "Sofie tahu tak bagaimana dia bunuh keluarganya? Apa senjata yang dia gunakan?" Soalnya lagi.
"Dia menggunakan sebilah pisau..." jawab Sofie.
Dr. Amar terkedu. 'Pisau?'
Wednesday, 17 July 2013
Kembara Muzik Miqa (1995 - 2013)
Salam Ramadhan. Nama saya Miqa and I'm single and available. Gahahaha!
Not funny.
Kali ini Miqa nak bercerita berkenaan kembara muzikal Miqa sejak kecil sampai sekarang. Anda perlu baca dengan teliti kerana kisah ini mungkin akan keluar dalam kertas soalan SPM. Gahahaha. Okey, tak lawak. UPSR.
Sejujurnya, Miqa tak ingat waktu bilakah Miqa mula-mula terbabit dalam kancah seni suara. Momen paling awal yang Miqa ingat ialah semasa darjah dua, ketika itu untuk pertandingan azan, sekolah agama. Ada satu pengumuman di kelas bahawa sesiapa yang pandai melaungkan azan dipelawa untuk ujibakat untuk pertandingan azan. Miqa dengan sokongan kawan-kawan rapat beliau akhirnya memberanikan diri menghadiri ujibakat dan akhirnya terpilih untuk mewakili sekolah. Berbekal sedikit usaha berserta sokongan ibu bapa, Miqa akhirnya berjaya melangkah sehingga ke peringkat daerah dalam pertandingan azan.
Tahun berikutnya, Miqa mula aktif dalam persatuan nasyid sebagai penyanyi utama. And that is the beginning of my ten years nasyeed career. Miqa terilbat secara aktif dalam program nasyid di sekolah agama dan sekolah kebangsaan sama ada untuk persembahan mahupun pertandingan. Banyak kenangan pahit manis yang telah di timba sepanjnag perjalanan, tapi kebanyakkannya dah pun lupus dari ingatan. =(
Menjelang sekolah menengah, Miqa terus aktif dengan program nasyid sehingga tingkatan dua. Di waktu tingkatan tiga, berlaku peralihan drastik sejajar dengan penghijrahan dari sekolah agama rakyat di Cangkat Jering ke sekolah menengah kebangsaan di Kuala Lumpur; dari nasyid ke muzik ROCK!
Linkin Park ROCK! Yeah!
Thanks to MTV and Channel V, Miqa didedahkan dengan muzik yang dahulunya adalah 'taboo' di kalangan pelajar sekolah agama. Band-band seperti Linkin Park, Limp Bizkit, Korn, P.O.D., Staind, Papa Roach dan lain-lain membuka perspektif baru Miqa terhadap muzik. And it did not stop there. Miqa terus mengeksplorasi genre-genre muzik lain seperti metal, hip-hop, classical, film score, jazz dan lain-lain. I remember listening Metallica for a first time. It's like the most thrilling music I ever heard in my life (and beautiful at the same time).
At that time, the only thing I wanted the most is to have a band. Malangnya tiada siapa pun di sekolah yang berminat dengan genre muzik semacam itu. Kebanyakkan mereka adalah pendengar muzik Iklim, Spoon, Spin, Spring dan lain-lain yang seangkatan dengannya. =(
Look at this guy. Look at them.
Semasa di tingkatan empat, atas jemputan rakan sekelas, Miqa melibatkan diri dalam program dikir barat sebagai Tok Juara; something that I never imagine myself doing. I took the challenged and trained very hard everyday for the competition. Kami akhirnya berjaya sampai ke peringkat kebangsaan. Suatu pencapaian yang amat manis sekali. Malah Miqa memenangi anugerah Tok Juara terbaik semasa di peringkat daerah. Cool eh?
Semasa di kolej, Miqa kembali terlibat dengan program nasyid, kebanyakkannya adalah pertandingan. I feel like I have a magnet over nasyeed activities. It's weird thinking me as a 'rocker' doing nasyeed thing. I still looking for friend to form band but thing just don't work out.
Tahun 2010, dengan bantuan forum internet, Miqa menemui seorang gitaris berbangsa cina dan kami membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah band yang diberi nama Danny And Lisa. Miqa bertindak sebagai vokalis dan penulis lagu / lirik. Band yang terdiri dari lima orang pemuzik itu walaubagaimanapun tidak dapat bertahan lama atas sebab masalah dalaman. Kami berpecah selepas beberapa bulan. =(
Tiga tahun kemudian, Miqa dan rakan sekerja, Aizat K-Pop seorang gitaris handalan memanfaatkan masa terluang untuk sama-sama mengekspres minat muzik masing-masing. Lagu-lagu bawaan kami kebanyakannya adalah lagu klasik seperti The Beatles, Cat Steven, Extreme, Man Bai dan M. Nasir. Pencapaian terbaik kami adalah mengadakan persemabahan akustik untuk Menteri Kesihatan dalam suatu majlis di hospital. It's not that great but it's meaningful for both of us.
So that's it. Rumusan kembara muzik Miqa setakat ini. The journey is not over. At least I hope it's not.
Terima kasih kerana membaca.
P/S : I still making music sometimes. Check out my soundcloud here. Selamat berbuka!
Saturday, 6 July 2013
Tragedi Lagu Ais Kacang
Hi. Nama samaran saya MIQA. Dah lama sebenarnya nak tulis cerita ni. Akhirnya gagah juga menyiapkannya.
Kisah ni berlaku lebih kurang sedekad setengah yang lalu. Ketika tu aku baru berusia lapan atau sembilan tahun (tak berapa ingat). Yang pasti, zaman itu ialah zaman sekolah rendah, yang penuh dengan kisah suka duka. Ketika itu aku bersekolah di Sekolah Rendah Taman Alam Megah, Shah Alam. Sekolah kedua-ku selepas Sekolah Rendah Hicom, Shah Alam. Jodoh aku dengan sekolah tu tak panjang sebab kemudiannya aku berhijrah lagi mengikut keluarga ke Puchong.
Walaubagaimanapun, suatu 'tragedi' telah berlaku menyebabkan aku akan terus mengenang sekolah ini sepanjang hidupku.
Hari itu seperti hari-hari biasa. Cuaca agak redup. Suasana sekolah hingar-bingar dengan murid-murid yang berpusu-pusu pulang ke kelas selepas tamat waktu rehat. Tak lama setelah aku mengambil tempat duduk, ketua kelas melaung mengarahkan murid-murid bangkit, tanda cikgu telah masuk. Selesai memberi salam, kami semua dibenarkan duduk.
Cikgu Hasbullah. Ya, aku ingat nama cikgu tu. Beliau mengajar mata pelajaran muzik di kelas aku. Beliau berusia pertengahan dua-puluhan, berbadan kurus dan tinggi, bermisai dan berjanggut. Wajah beliau sentiasa dingin dan jarang-jarang senyum. Tapi aku belum cukup kenal siapa Cikgu Hasbullah pada waktu itu. Aku anggap dia sama seperti cikgu-cikgu lain. Suatu kesilapan paling besar pernah aku buat!
Murid-murid disuruh mengeluarkan buku teks muzik dan menyelak muka surat lagu berjudul Ais Kacang. Aku cemas sebab lupa bawa buku. Terpaksa aku merayu kepada Arif, budak bertubuh gempal yang duduk disebelah aku untuk berkongsi buku. Nasib baik dia benarkan.
Cikgu Hasbullah berdiri di depan kelas, dan beliau mula menyanyikan lagu Ais Kacang.
"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..."
Aku tak tahu kenapa, lirik lagu Ais Kacang sangat menggelikan hati sampai membuatkan aku tergelak kecil. Melihat muka dingin Cikgu Hasbullah menyanyi, membuatkan ia bertambah lucu.
"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..." Cikgu Hasbullah terus menyanyi. Suara beliau teruk sekali.
Aku ketawa lagi. Aku juga tak faham kenapa kawan-kawan sekelas yang lain kelihatan begitu senyap dan serius. Tapi aku tak peduli dan terus ketawa dengan nada agak kuat.
"SIAPA YANG GELAK TU?" Jerkah Cikgu Hasbullah.
Aku ingat momen itu sebagai detik paling menggerunkan dalam hidup aku. Mata Cikgu Hasbullah membeliak, merenung tajam ke arahku. Wajahnya bengis.
"KAU INGAT SUARA KAU SEDAP LAGI?" Bentak Cikgu Hasbullah. Suaranya bak guruh menyabung.
Hanya tuhan tahu bagaimana menggeletarnya tubuh aku saat itu.
"Berdiri atas meja!" arah Cikgu Hasbullah, mencekak pinggang.
Berdiri atas meja? Berdiri atas meja adalah hukuman tahap 'ekstrem' yang jarang-jarang dikenakan pada waktu itu. Berdiri di atas kerusi pun sudah dianggap berat, inikan pula berdiri atas meja.
Aku seakan tak percaya dikenakan hukuman sedemikian. Aku terpinga-pinga sambil merenung kawan-kawan aku di sekeliling, kalau-kalau ada yang bersimpati. Tiada siapa berani mengangkat muka.
"BERDIRI ATAS MEJA CEPATTTT!!!" Bentak Cikgu Hasbullah. Suaranya sangat kuat sampai terasa nak gugur jantung. Bagi seorang kanak-kanak sekolah rendah, dijerkah sedemikian rupa adalah situasi yang sangat menakutkan dan memalukan.
Dengan tubuh terketar-ketar, aku memanjat meja. Wajah ku pucat dan tekak terasa kering.
"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..." Cikgu Hasbullah menyambung nyanyiannya sehingga habis, diikuti nyanyian oleh murid-murid. Aku hanya merenung dengan wajah sayu. Aku perhatikan rakan-rakan lain, mereka langsung tidak berani mengangkat muka.
Ternyata Cikgu Hasbullah belum puas hati dengan aku. Telinga ku di tarik dan aku diheret ke depan kelas. Cikgu Hasbullah lalu mengarahkan aku menyanyi lagu Ais Kacang. Dengan suara tersekat-sekat, aku memaksa diri menyanyi. Apabila aku tersilap melodi, Cikgu Hasbullah gelakkan aku. Dia turut mengajak murid-murid kelas ketawakan aku. Malunya jangan cakaplah.
"TAK DENGAR! NYANYI KUAT-KUAT!" tengkingnya.
"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..." Aku menyanyi dengan diiringi air mata mengalir laju. Itu kali kedua aku menangis di dalam kelas. Kali pertama ialah ketika darjah satu, sewaktu dibelasah oleh kawan sekelas sampai pecah bibir.
"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..."
Sebaik selesai menyanyi, aku diarahkan kembali berdiri di atas meja sehingga tamat kelas.
Selepas insiden itu barulah aku kenal dengan jelas siapa Cikgu Hasbullah. Kisah-kisah beliau 'membelasah' murid-murid lain mula berlegar dipendengaranku. Ramai yang telah 'kena' dan ada di antaranya menerima hukuman yang jauh lebih teruk dari aku.
Selain bengis dan garang, 'perangai' lain beliau adalah 'gatal' dan 'nakal' dengan pelajar perempuan. Tapi aku tak nak cerita lebih-lebih bab tu. Cukuplah aku cakap yang Cikgu Hasbullah adalah bukan pengajar yang boleh dijadikan contoh tauladan. Aku tak berdendam dengan beliau, cuma aku harapkan beliau berubah kepada lebih baik.
Apapun, aku bencikan lagu Ais Kacang. Aku juga bencikan pencipta lagu Ais Kacang. Trauma!
P/S : Saya masih suka ais kacang. Siapa nak belanja? =)
Subscribe to:
Posts (Atom)









