Kisah ini adalah mengenai seorang gadis sekolah rendah bernama Syasya. Tubuhnya kecil saja. Rambutnya pendek. Dia tak pernah sekali pun dilihat senyum. Berbicara juga sangat jarang. Dia selalu mengasingkan diri dari rakan-rakan yang lain. Sejak kecil dia kerap berpindah randah kerana mengikut bapanya yang bekerja sebagai.... dia tidak tahu apa pekerjaan bapanya. Akibatnya, dia sering terpaksa bertukar sekolah. Mungkin sebab itu dia tidak punyai kawan....
Satu tabiat buruk Syasya adalah memukul orang. Setiap kali masuk ke sekolah baru, Syasya akan mencari lawannya. Dengan tubuh kecil, dia melangkah umpama samseng jalanan memerhati sesiapa yang memenuhi 'spesifikasi' untuk menerima penumbuknya. Kini sudah darjah lima, dia masih memegang rekod tidak pernah tewas dalam mana-mana pertarungan. Pulang ke rumah dengan muka bengkak dan hidung berdarah sudah menjadi kebiasaan baginya. Ibu bapanya pun sudah buntu fikiran dengan tabiatnya itu.
Hari itu hari kedua Syasya di sekolah baru. Pada waktu rehat Syasya merayau-rayau di sekitar kawasan sekolah mencari 'pasal' dengan murid-murid lain. Tapi Syasya bukan nak bermusuh dengan sesiapa. Dia hanya mencari pasangan untuk berentap. Selagi tak berjumpa seteru, selagi itu dia tak boleh duduk diam.
Syasya berjalan sampai ke kelas paling hujung. Kelas itu tidak berpenghuni. Kerusi dan meja tidak tersusun dan sampah sarap bertebaran Tiba-tiba kedengaran satu suara menegur keras. "Woi budak baru! Blah dari sini. Ini 'port' kitorang!"
Syasya menoleh, melihat sekumpulan murid perempuan darjah enam merenung bengis padanya.
"Pekak ke? Orang suruh blah, BLAH je la!" bentak salah seorang yang bertubuh besar.
Syasya tak berganjak seinci pun. "Mulai hari ini, port ni aku punya," ucapnya selamba.
Murid-murid perempuan itu bersorak mendengar kata-kata Syasya. "Ko nak mampus eh? Takde otak? Ko nak kena belasah?" soal yang bertubuh besar itu. Namanya Hayati. Dia yang paling besar dan paling lantang di antara mereka.
"Jom lawan. Kalau kau kalah, tempat ni jadi port aku. Kalau aku kalah, aku takkan jejak tempat ni lagi sampai bila-bila," cabar Syasya. Di hatinya teruja kerana sudah menemui lawan. Syasya belum pernah bertarung dengan lawan sebesar Hayati. Namun dia terima ini sebagai cabaran.
Hayati setuju. Mereka lalu menyingsing lengan, sedia untuk berentap. Kawan-kawan Hayati bersorak menyokongnya sambil mengejek dan menyindir Syasya.
Syasya tak menunggu lama untuk menghayun penumbuknya. Peliknya, tumbukan itu tak memberi apa-apa kesan kepada Hayati. Mungkin kerana tubuhnya yang besar, kebal dengan lapisan-lapisan lemak tebal. Syasya menumbuk dan menendang berulang kali dengan sekuat hati, namun sedikitpun tidak mampu menggerakkan Hayati.
Hayati ketawa besar melihat Syasya yang gagal meyakitinya. Dengan sebelah tangan dia lalu menolak tubuh Syasya membuatkannya jatuh berguling ke lantai. Syasya bangkit dengan cepat. Dia meluru semula ke arah Hayati sambil menghayun penumbuk namun sekali lagi dia ditolak. Syasya sekali lagi jatuh berguling. Kepalanya terhentak pada lantai dan bengkak.
Hayati dan rakan-rakannya ketawa besar melihat Syasya merintih. Namun Syasya masih tak putus semangat. Dia merempuh ke arah Hayati dan cuba untuk menumbuk mukanya. Hayati lebih tangkas merenggut baju Syasya dan menghumbankannya ke dinding. Tubuh Syasya terasa melayang sebelum menghentam dinding dan terhempas ke lantai.
"Budak bodoh. Cukuplah. Blah je dari sini. Jangan sampai Hayati patahkan tulang belakang ko!" seloroh Nadia, salah seorang kawan Hayati.
Syasya rasa berpinar-pinar. Kepalanya seakan berpusing-pusing. Dia cuba bangkit, namun jatuh. Dia cuba bangkit semula, namun sekali lagi jatuh. Dia lalu memegang tembok dan berusaha bangkit.
"Aku.." ucap Syasya dengan suara bergetar. "Aku tak rasa sakit langsung."
Wajah Hayati serta merta berubah. Dia mengetap gigi. Api marahnya pada Syasya menjulang naik. Dia lantas meluru pada Syasya, menarik rambut gadis itu dan menumbuk mukanya berulang kali. Tubuh Syasya kemudiannya dijulang dan dihempas ke lantai sebelum ditendang sekuat-kuat hati. Kawan-kawan Hayati yang tadi bersorak kini terdiam, senyap dan menekup mulut.
Hayati tercungap-cungap penat. Tubuh Syasya yang terkulai di lantai direnungnya lama. Dia bimbang kalau-kalai gadis itu pitam akibat pukulannya.
"Tak sakit langsung. Tak rasa apa-apa..." ucap Syasya dengan hidung dan mulut berlumur darah. Dia menoleh pada Hayati dengan tubuh terketar-ketar.
Hayati kaget. Mulutnya terlopong.
"Kau... Kau tak boleh kalahkan aku," kata Syasya, cuba bangkit dengan berpaut pada tembok.
"Budak ni tak reti nak mampus ke!" Bentak Hayati. Kali ini dia benar-benar menghimpun seluruh tenaganya. Dia sudah tidak peduli lagi. Si celaka ini mesti dihapuskan!
Belum sempat Hayati bertindak, tiba-tiba kedengaran suara Cikgu Ruminah, guru disiplin sekolah memekik dari jauh. Hayati, Nadia dan rakan-rakannya bertempiaran melarikan diri meninggalkan Syasya terkulai di atas lantai, sendirian dengan darah berlumur di mukanya.
- Bagaimanakah nasib Syasya? Ikuti kesudahannya pada bahagian ke-2.
Masa untuk gambar random!

No comments:
Post a Comment