Monday, 25 November 2013

Antara Kritikan Dan Ketaatan Kepada Gerakan / Jemaah

Salam sejahtera! Miqa melapor ke dalam.

Ketaatan pengikut kepada sesuatu gerakan itu menjadi tunjang kepada kekuatan gerakan itu. Terutama apabila gerakan itu berhadapan dengan tentangan atau lawan yang lebih besar dan berkuasa. Pucuk pimpinan gerakan akan berusaha untuk mengikat pengikut untuk tunduk, taat dan patuh pada sebarang keputusan malah kalau boleh jangan dipersoalkan atau dipertikaikan. Para pengikut terdidik untuk tidak bersuara dan akur. Kalau ada yang bersuara, mereka akan diserang bertubi-tubi, walaupun hanya sekadar melontar pendapat yang kadangkala ada benarnya.

Adakah ini suatu perkembangan yang sihat?

Secara peribadi saya melihat isu ini amatlah tidak sihat malah boleh menjejas pemikiran kritis dan pembiakan idea di kalangan pengikut gerakan. Mengapa kita perlu terikat, terkongkong dan tidak bebas untuk melontarkan idea, kritikan dan pandangan? Bukankah itu hak asasi insan? Walau siapa pucuk pimpinan kita sekalipun, mereka harus berlapang dada dan bersikap terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan. Mereka bukan insan maksum seperti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Mereka ada kelemahan, kekurangan dan kadangakala memerlukan kepada teguran dan kritikan. Para sahabat dan amirul mukminin juga pernah ditegur dan dikritik. Andai pemimpin sesebuah gerakan gagal menerima kritikan dan menyukarkan saluran untuk bersuara, ia bukanlah suatu gerakan yang ideal untuk disertai malah menjadi ancaman kepada masyarakat.

Masyarakat yang maju dan pintar memerlukan kepada budaya yang bebas, terbuka dan berani dalam melontar dan menerima kritikan. Kita lihat negara-negara seperti Jepun, Korea, USA dan negara-negara eropah, mereka meng-optimakan segala medium yang wujud seperti novel, filem, muzik, seni, teater dan lain-lain untuk meluahkan kritikan dan teguran. Sebab itu mereka jauh terkehadapan berbanding kita. Guru boleh menerima kritikan anak murid. Majikan boleh menerima kritikan pekerja. Ibu bapa boleh menerima kritikan anak-anak. Pemimpin boleh menerima kritikan pengikut. Apabila hak ini tidak diraikan, maka apa yang tinggal adalah mentaliti jumud yang tidak berkembang malah mengundur pula ke belakang.

Akhir kata, tunjang untuk sebuah gerakan yang matang dan ideal bukanlah hanya bergantung kepada pengikut yang patuh dan taat tetapi juga pengikut yang aktif menyuarakan pandangan, idea dan kritikan. Andai nilai ini tiada, kemenangan yang dicapai pun akhirnya tidak akan kekal lama. Kemenangan yang kita inginkan bukanlah kemenangan gerakan semata, tetapi yang lebih utama, kemenangan bagi semua pihak tidak kira pemimpin mahupun pengikut.

Miqa

No comments:

Post a Comment