Thursday, 18 July 2013

Karya Fiksyen : Mimpi Mimpi Ngeri

Tajuk : Mimpi Mimpi Ngeri
Penulis : Miqa
Genre : Seram / Fantasi

     Suasana kelam malam itu bertukar silau-kemilau. Bunyi yang memekakkan telinga kedengaran memecah keheningan malam serentak dengan gegaran yang kuat di tanah. Hanis tergamam tatkala melihat kelibat sebuah gerabak keretapi tiba-tiba muncul memecut dengan sangat laju ke arahnya. Tubuhnya menggeletar. Dia seakan tak boleh mempercayai matanya. Dia cuba untuk menjerit namun mulutnya bagai terkunci. Dia cuba berlari namun kakinya bagai terikat. Apa yang mampu dilakukan hanya melihat dengan mata membulat, di saat gerabak keretapi itu hanya tinggal beberapa inci sahaja jaraknya.



     TIDAK!!!

     Hanis beristighfar berkali-kali. Nafasnya turun naik dengan kencang. Gadis berusia awal dua puluhan itu mencapai segelas minuman di bucu meja sebelum meneguk dengan rakus. Mimpi yang dilaluinya terlalu menggerunkan, dan masih terakam kemas diingatannya.

     Dia lalu bangkit dari katil menuju ke bilik air di penjuru kamar. Sebaik menekan suis lampu, Hanis melangkah masuk sebelum mendapati beberapa tompokan cecair merah di lantai.




     "Ya Allah! Darah!" Hanis menekup mulutnya. Di hadapannya kelihatan beberapa bangkai makhluk yang mengerikan. Darah likat yang kering berlumuran di segenap ruang. Ulat berengga berkeliaran merata-rata. Bau busuk dan hanyir menusuk rongga hidung, sangat-sangat meloyakan. Gadis itu menggeletar seluruh badan. Rasa ingin muntah yang menekan di kerongkong semakin tidak tertahan.

     Hanis berlari kembali ke katil. Dia langsung merebahkan diri di atas tilam empuk. Matanya dipejam rapat-rapat. Harapannya adalah semua ini hanyalah igauan.

     Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Hanis bagaikan gugur jantung mendengarnya. Dia berbelah bahagi samada untuk membuka pintu tersebut atau terus bersembunyi di bawah selimut. Sayup-sayup kedengaran suara kecil, seakan budak perempuan memanggil-manggil namanya. Entah mengapa tubuhnya bagai terheret untuk membuka pintu bilik itu, seakan wujud sesuatu yang mendorongnya.

     Tombol pintu dipulas, daun pintu di buka. Rasa ngeri dan dingin serta-merta menyelubungi seluruh tubuhnya. Di hadapannya kelihatan susuk seorang budak perempuan lingkungan usia enam tahun. Wajahnya pucat seakan mayat. Hanis tergamam melihat baju gaun putihnya yang compang-camping dengan kesan darah dan kotoran di muka dan seluruh badannya. Budak perempuan itu sama sekali tidak bergerak, hanya ekor matanya merenung dalam dan tajam seakan ingin merobek matanya.

     "Kau siapa?" Soal Hanis gugup.

     Budak perempuan itu membuka mulutnya perlahan-lahan. Darah merah yang likat tiba-tiba mengalir keluar dengan banyaknya sehingga melimpah ke atas pakaiannya.



     Hanis memekik ketakutan.

     "Aku adalah KAU!" ucap budak perempuan itu dengan suara yang amat mengerikan.

     Serentak dengan itu, Hanis merasakan darah likat menyembur keluar dari mulut, hidung, telinga dan matanya. Pedihnya bukan alang-kepalang. Seluruh kepalanya dirasakan bagai hancur berkecai akibat deras dan banyaknya darahnya keluar. Azab yang tidak terperi.

     "YA ALLAH!!!"

     Hanis mengucap panjang. Dadanya berombak dengan nafas yang tercungap-cungap. Dia menoleh sekeliling. Ternyata dia masih di dalam biliknya, di atas katil tilam empuk dengan selimut yang hangat membalut tubuh. Dia lalu mencapai segelas air di bucu meja lalu diteguk dengan rakus.

     'Mimpi dalam mimpi?' Hanis termanggu bingung. Mimpi itu dirasakan seakan benar-benar berlaku. Ketakutan dan rasa ngeri yang dialaminya masih berbekas. Tubuhnya masih lagi menggigil. Matanya tidak mahu lagi dipejamkan. Sendirian dia termenung kosong sehingga mentari terbit.

***

     Dr. Amar mengangguk berkali-kali. Pena di di jemarinya menari-nari mencatit sesuatu pada kertas nota. Sesekali dia membetulkan cermin matanya dan menguis dagu. Wajah sugul Hanis direnung sejenak. Pena di jemarinya lalu dilepaskan.

     "Jadi, Cik Hanis kata semua mimpi tu terasa seakan benar-benar berlaku?" soal Dr. Amar.

     Hanis mengangguk lesu.

     Dr. Amar tersenyum. Senyumannya sedikit berbaur sinis.

     "Doktor tak percaya dengan semua yang saya cakap?" soal Hanis berang.

     "Bukan saya tak percaya," jawab Dr. Amar tersengih. "Tapi mimpi buruk ini adalah perkara biasa. Tak perlulah Cik Hanis fikirkan sangat. Lambat laun semuanya akan hilang. Saya dah pernah merawat berpuluh-puluh pesakit seperti Cik Hanis. Jadi Cik Hanis tak perlulah bimbang sangat."

     Hanis bangkit dari kerusi. Hatinya disentap amarah. "Doktor jangan samakan masalah saya dengan pesakit-pesakit lain!" tempiknya.

     "Bawa bertenang Cik Hanis," pujuk Dr. Amar cemas.

     "Kau dengar baik-baik! Aku rasa bagai dibunuh berkali-kali dalam mimpi tu, dan kau duduk di sini menganggap semuanya perkara biasa?" Soal Hanis dengan nada kuat. Dia kelihatan semakin hilang kawalan. Matanya merah. Wajahnya bengis. Rambut panjangnya yang kusut masai mengerbang. Nafasnya cepat dan buas. Tangannya lalu menyeluk beg tangan dan mengeluarkan suatu objek runcing. 

     "Aku nak buat kau rasakan apa yang aku rasa!"

"Cik Hanis... Bawa bersabar. Letakkan pisau tu di bawah. Kita boleh berbincang lagi mengenai perkara ni," rayu Dr. Amar panik. Jantungnya berdegup pantas tatkala gadis itu mula mengacu pisau tersebut ke arahnya.

     Hanis ketawa terbahak-bahak tidak ubah seakan terkena rasukan. "Bincang? Semuanya dah terlambat. Hari ni kau akan mati di tangan aku!" Jerit gadis itu seraya menerpa ke arah Dr. Amar.

     "Ya Allah!" jerit Dr. Amar tatkala mata pisau mula membenam di dadanya. Kepedihan yang dirasai tidak tertanggung. Darah merah panas mula mengalir keluar. "Hanis... Lepaskan saya... Ampunkan saya!" Rayu doktor berusia pertengahan tiga puluhan itu.

     Hanis mengilai ketawa. "Hahaha! Sakit bukan. Ini hanya permulaan!" Gadis itu lantas mencabut keluar pisau yang berlumuran darah itu lalu membenamkannya pula ke perut Dr. Amar.

     "ALLAH!" Rintih Dr. Amar. Isi perutnya rasa seakan terburai. Rasa pedih dan sakit menjalar ke seluruh tubuh badannya.



     Hanis mencabut semula pisau tersebut dan terus menikam batang tubuh Dr. Amar berulang kali. Tiada secalit pun rasa kasihan belas di wajahnya. Hanya senyuman ngeri dan dengusan amarah yang kedengaran. Darah merah likat memancut dan menyembur ke dinding lalu mengalir ke lantai. 

     Tikaman demi tikaman terus dihayunkan dengan semahu-mahunya. Tubuh Dr. Amar lunyai dan hancur sama sekali. Organ-organ dalamannya terkeluar dan pecah. Dia terkulai tidak bernyawa. Hanis menyaksikannya dengan megah. Dia mengilai ketawa sambil merenung kedua tangannya yang berlumuran darah.



     "Hahaha! Mati kau jahanam!"

     Hanis lalu mencapai pisau di lantai. Senjata itu diperhatikannya beberapa ketika. Darah yang melekat di bilahnya lalu dijilat penuh ghairah. Dia lalu berbisik sendiri, "Sekarang giliran aku pula!"

     Hanis seraya membenamkan pisau tersebut tepat di bahagian jantungnya. Gadis itu meraung semahu-mahunya menanggung azab. Darah yang tersembur keluar bercampur dengan darah Dr. Amar. Dia menarik-narik rambut menahan seksa sebelum rebah di sisi jenazah Dr. Amar. Di saat-saat terakhir itu dia masih mampu tersenyum. Bilah pisau masih tercacak didadanya di saat dia menghembuskan nafas terakhir.

     Dr. Amar meraung ketakutan. Wajahnya pucat dan dibasahi peluh. Nafasnya kencang seakan dikejar sesuatu. Dia memerhati sekeliling mendapati dirinya masih di atas katil pesakit. Dia lalu menyapu mukanya sambil beristighfar.

     "Dr. Amar tak apa-apa?" Tanya Sofie, jururawat bertugas malam itu. "Saya rasa macam terdengar doktor menjerit semasa saya bertugas di kaunter tadi."

     Dr. Amar mengawal nafasnya. "Saya okey. Cuma mimpi buruk sahaja." Jawabnya. 

     "Ohh. Itulah. Lain kali jangan sekali-kali tidur di atas katil pesakit," balas Sofie tersenyum.

     Dr. Amar seraya turun dari katil itu. Dia termenung sejenak. Semua mimpi yang dialaminya kembali bermain difikiran.

     "Sofie, siapa yang terakhir sekali menggunakan katil ini?" Soal Dr. Amar.

     "Emm, tak silap saya seorang gadis awal dua puluhan. Dia cedera parah dan keadaannya sangat kritikal akibat cubaan membunuh diri. Sebelum cuba membunuh diri, dia terlebih dahulu membunuh seluruh ahli keluarganya. Menurut rekod, dia ada sejarah tekanan perasaan yang melampau," terang Sofi.

     Dr. Amar mengangguk perlahan. "Sofie tahu tak bagaimana dia bunuh keluarganya? Apa senjata yang dia gunakan?" Soalnya lagi.

     "Dia menggunakan sebilah pisau..." jawab Sofie.

     Dr. Amar terkedu. 'Pisau?'

     "YA! PISAU MACAM NI!!!" Pekik Sofie dengan sebilah pisau di tangan. "HAHAHAHAHAH!"



No comments:

Post a Comment