Saturday, 6 July 2013

Tragedi Lagu Ais Kacang

Hi. Nama samaran saya MIQA. Dah lama sebenarnya nak tulis cerita ni. Akhirnya gagah juga menyiapkannya.

Kisah ni berlaku lebih kurang sedekad setengah yang lalu. Ketika tu aku baru berusia lapan atau sembilan tahun (tak berapa ingat). Yang pasti, zaman itu ialah zaman sekolah rendah, yang penuh dengan kisah suka duka. Ketika itu aku bersekolah di Sekolah Rendah Taman Alam Megah, Shah Alam. Sekolah kedua-ku selepas Sekolah Rendah Hicom, Shah Alam. Jodoh aku dengan sekolah tu tak panjang sebab kemudiannya aku berhijrah lagi mengikut keluarga ke Puchong.

Walaubagaimanapun, suatu 'tragedi' telah berlaku menyebabkan aku akan terus mengenang sekolah ini sepanjang hidupku.



Hari itu seperti hari-hari biasa. Cuaca agak redup. Suasana sekolah hingar-bingar dengan murid-murid yang berpusu-pusu pulang ke kelas selepas tamat waktu rehat. Tak lama setelah aku mengambil tempat duduk, ketua kelas melaung mengarahkan murid-murid bangkit, tanda cikgu telah masuk. Selesai memberi salam, kami semua dibenarkan duduk.

Cikgu Hasbullah. Ya, aku ingat nama cikgu tu. Beliau mengajar mata pelajaran muzik di kelas aku. Beliau berusia pertengahan dua-puluhan, berbadan kurus dan tinggi, bermisai dan berjanggut. Wajah beliau sentiasa dingin dan jarang-jarang senyum. Tapi aku belum cukup kenal siapa Cikgu Hasbullah pada waktu itu. Aku anggap dia sama seperti cikgu-cikgu lain. Suatu kesilapan paling besar pernah aku buat!

Murid-murid disuruh mengeluarkan buku teks muzik dan menyelak muka surat lagu berjudul Ais Kacang. Aku cemas sebab lupa bawa buku. Terpaksa aku merayu kepada Arif, budak bertubuh gempal yang duduk disebelah aku untuk berkongsi buku. Nasib baik dia benarkan.

Cikgu Hasbullah berdiri di depan kelas, dan beliau mula menyanyikan lagu Ais Kacang.

"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..."

Aku tak tahu kenapa, lirik lagu Ais Kacang sangat menggelikan hati sampai membuatkan aku tergelak kecil. Melihat muka dingin Cikgu Hasbullah menyanyi, membuatkan ia bertambah lucu.

"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..." Cikgu Hasbullah terus menyanyi. Suara beliau teruk sekali.

Aku ketawa lagi. Aku juga tak faham kenapa kawan-kawan sekelas yang lain kelihatan begitu senyap dan serius. Tapi aku tak peduli dan terus ketawa dengan nada agak kuat.

"SIAPA YANG GELAK TU?" Jerkah Cikgu Hasbullah.

Aku ingat momen itu sebagai detik paling menggerunkan dalam hidup aku. Mata Cikgu Hasbullah membeliak, merenung tajam ke arahku. Wajahnya bengis.

"KAU INGAT SUARA KAU SEDAP LAGI?" Bentak Cikgu Hasbullah. Suaranya bak guruh menyabung.

Hanya tuhan tahu bagaimana menggeletarnya tubuh aku saat itu.

"Berdiri atas meja!" arah Cikgu Hasbullah, mencekak pinggang.

Berdiri atas meja? Berdiri atas meja adalah hukuman tahap 'ekstrem' yang jarang-jarang dikenakan pada waktu itu. Berdiri di atas kerusi pun sudah dianggap berat, inikan pula berdiri atas meja.

Aku seakan tak percaya dikenakan hukuman sedemikian. Aku terpinga-pinga sambil merenung kawan-kawan aku di sekeliling, kalau-kalau ada yang bersimpati. Tiada siapa berani mengangkat muka.

"BERDIRI ATAS MEJA CEPATTTT!!!" Bentak Cikgu Hasbullah. Suaranya sangat kuat sampai terasa nak gugur jantung. Bagi seorang kanak-kanak sekolah rendah, dijerkah sedemikian rupa adalah situasi yang sangat menakutkan dan memalukan.

Dengan tubuh terketar-ketar, aku memanjat meja. Wajah ku pucat dan tekak terasa kering.

"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..." Cikgu Hasbullah menyambung nyanyiannya sehingga habis, diikuti nyanyian oleh murid-murid. Aku hanya merenung dengan wajah sayu. Aku perhatikan rakan-rakan lain, mereka langsung tidak berani mengangkat muka.

Ternyata Cikgu Hasbullah belum puas hati dengan aku. Telinga ku di tarik dan aku diheret ke depan kelas. Cikgu Hasbullah lalu mengarahkan aku menyanyi lagu Ais Kacang. Dengan suara tersekat-sekat, aku memaksa diri menyanyi. Apabila aku tersilap melodi, Cikgu Hasbullah gelakkan aku. Dia turut mengajak murid-murid kelas ketawakan aku. Malunya jangan cakaplah.

"TAK DENGAR! NYANYI KUAT-KUAT!" tengkingnya.

"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..." Aku menyanyi dengan diiringi air mata mengalir laju. Itu kali kedua aku menangis di dalam kelas. Kali pertama ialah ketika darjah satu, sewaktu dibelasah oleh kawan sekelas sampai pecah bibir.


"Ais kacang... Ais, ais kacang... Enak dimakan di waktu panas..."

Sebaik selesai menyanyi, aku diarahkan kembali berdiri di atas meja sehingga tamat kelas.

Selepas insiden itu barulah aku kenal dengan jelas siapa Cikgu Hasbullah. Kisah-kisah beliau 'membelasah' murid-murid lain mula berlegar dipendengaranku. Ramai yang telah 'kena' dan ada di antaranya menerima hukuman yang jauh lebih teruk dari aku.

Selain bengis dan garang, 'perangai' lain beliau adalah 'gatal' dan 'nakal' dengan pelajar perempuan. Tapi aku tak nak cerita lebih-lebih bab tu. Cukuplah aku cakap yang Cikgu Hasbullah adalah bukan pengajar yang boleh dijadikan contoh tauladan. Aku tak berdendam dengan beliau, cuma aku harapkan beliau berubah kepada lebih baik.

Apapun, aku bencikan lagu Ais Kacang. Aku juga bencikan pencipta lagu Ais Kacang. Trauma!

P/S : Saya masih suka ais kacang. Siapa nak belanja? =)

No comments:

Post a Comment