Pertama : Apabila kenderaan anda dilanggar dan anda tahu anda tidak bersalah, keluarlah dari kenderaan anda dengan wajah bengis iaitu dengan mengerutkan dahi, mengembangkan lobang hidung dan menjelirkan lidah. Ini bertujuan untuk menakutkan pihak yang melanggar dan sekaligus membuktikan anda seorang samseng yang harus dihormati (Lihat cermin dan cuba sendiri).
Kedua : Sekiranya anda sedar bahawa anda yang bersalah, langkah pertama masih boleh diaplikasikan melainkan jika pemandu kenderaan yang anda hentam itu lebih gagah, bengis dan garang daripada anda bagi mengelakkan 'kontra-indikasi'. Dalam situasi ini, cubalah untuk melutut dan berguling-guling sambil berpura-pura menangis. Lafazkan kata-kata rayuan bagi meraih simpati seperti hutang PTPTN belum dilunaskan, atau bapak mertua minta hadiah hari jadi.
Ketiga : Andai berlaku kecederaan parah seperti hidung tersagat di side mirror atau siku terselit di celah stereng, maka memekiklah sekuat hati anda. Ini adalah penting bagi memastikan ambulan kecemasan tahu di mana lokasi anda selain mengurangkan kesakitan yang di alami.
Keempat : Jika kenderaan anda terlanggar haiwan ternakan seperti kuda, cipan dan beruang, tidak perlulah melaporkan kejadian berkenaan kepada penternak haiwan tersebut kerana ia akan merumitkan keadaan. Sebaliknya berjumpalah terus dengan keluarga, atau anak dan bini haiwan berkenaan dan maklumkan insiden yang telah berlaku kerana mereka lebih memahami.
Kelima : Sekiranya kenderaan anda terlanggar tiang lampu, pastikan syarikat pembekal yang membekalkan tiang lampu berkenaan dikenalpasti untuk dihubungi bagi menuntut ganti rugi di atas kerosakan yang telah dilakukan. Operator syarikat berkenaan mungkin akan memaki anda untuk sejam dua namun anda harus tegas mempertahankan hak anda sebagai pengguna jalan raya.
Keenam : Andainya kenderaan anda yang terbabas itu adalah jenis unik seperti basikal jepun atau skuter comel, berpura-puralah pitam sehingga orang ramai beredar dari tempat kejadian bagi mengelakkan cacian dan hinaan yang memalukan.
Ketujuh : Jika kaki atau anggota badan anda yang lain patah akibat kemalangan, segeralah merangkak atau berguling ke bahu jalan. Ini sangat penting untuk memastikan kelancaran perjalanan trafik. Anda perlu memikirkan kebajikan pengguna jalan raya lain. Mungkin ada diantara mereka perlu segera ke pejabat dan mungkin ada di antara mereka sudah tidak tahan untuk ke tandas. Jadilah mangsa kemalangan yang berhemah.
Kelapan : Sekiranya anda dengan tidak sengaja terlanggar kenderaan bos anda, sediakan surat perletakan jawatan dengan segera bagi mengelakkan komplikasi yang lebih teruk. Tindakan yang sama juga boleh diambil sekiranya bos anda yang melanggar kenderaan anda.
Terima kasih. Miqa harap anda semua beroleh manfaat dari artikel kali ini.
Jadilah pemandu berhemah.
No comments:
Post a Comment