Kisah 1
Farhan cemas menggeledah beg sekolahnya. Semua rakan sekelas yang lain sudah pun menghantar kerja rumah yang diminta Cikgu Hashim. Tinggal dia seorang yang masih belum berbuat demikian. Puas dia mencari namun buku tersebut gagal ditemui. Farhan panik. Cikgu Hashim sedari tadi memerhatikannya dengan pandangan yang tajam. "Farhan! Mana kerja rumah kamu?" Soal Cikgu Hashim dengan suara yang lantang. Farhan menggigil. Cikgu Hashim bertubuh besar dan sangat garang. Farhan tidak berani mengangkat muka. "Disebabkan kamu tak bawa kerja rumah, saya anggap kamu tak buat. Sebagai denda, kamu berdiri di atas kerusi sepanjang kelas saya!" Arah Cikgu Hashim. Farhan dengan lutut menggeletar mendaki kerusinya. Wajahnya merah padam, tertunduk merenung lantai. Rakan-rakan yang lain memerhati setiap perbuatannya. Ada yang nakal pula, mentertawakannya dan membuat lawak jenaka. Semua ini membuatkan Farhan rasa terasing, malu, geram dan keliru. Hatinya terlalu sebak sehingga air matanya menitis. Dia teresak-esak. Melihat Farhan menangis, lebih rancak pula rakan-rakannya yang nakal itu membuat jenaka. Lima belas minit kemudian, pintu kelas diketuk. Cikgu Hashim mendapati seorang wanita tercegat di muka pintu. "Maaf mengganggu. Saya ibu Farhan. Saya datang nak serahkan kerja rumah dia yang tertinggal. Dia berusaha siapkannya sepanjang malam tapi terlupa nak masukkan ke dalam beg sewaktu nak ke sekolah," jelas wanita itu. Cikgu Hashim tergamam.
Sekarang bayangkan andainya Cigu Hashim memberi peluang kepada Farhan.
Kisah 2
Pukul 11 malam. Encik Rosli seorang ahli jawatankuasa surau sedang berjalan pulang dari kedai kopi tiba-tiba terserempak dengan satu pasangan lelaki dan perempuan sedang duduk bersembang di atas kerusi di taman permainan. Tiada orang lain kelihatan di waktu itu. "Budak-budak bedebah! Tak habis-habis nak buat maksiat!" Jerkah Encik Rosli meluru ke arah pasangan tersebut. Wajahnya bengis. Perasaan marahnya meluap-luap. "Berani kamu buat kerja tak senonoh dalam kampung ni? Aku nak heret kamu ke surau, biar semua orang kampung tengok!" Gertak Encik Rosli mula menyingsing lengan. Pasangan tersebut cemas dan menggigil. "Tttt... Tapi kami adik beradik," jelas yang lelaki, gugup. "Bohong! Kamu ingat aku nak percaya cakap kamu?" Tempik Encik Rosli. Pasangan tersebut pucat ketakutan. Yang perempuan mula teresak-esak. Encik Rosli dengan segera menghubungi dua orang lagi rakannya untuk membawa pasangan tersebut ke surau. Sampai di surau, orang kampung sudah berhimpun. Masing-masing menggeleng kepala, malah mencaci maki pasangan itu. Ustaz Othman yang dihubungi segera datang untuk memastikan keadaan. "Saya nampak mereka berdua-duaan di taman. Kita tak boleh bagi muka sangat pada budak-budak ni!" Bentak Encik Rosli. Tiba-tiba muncul sepasang suami isteri dengan wajah panik. "Tolonglah Ustaz. Mereka ni adik beradik! Sejak kecil lagi mereka ni memang rapat. Ini hari pertama mereka berjumpa sejak si kakak pulang dari belajar di luar negara selama tiga tahun," terang si suami. Ustaz Othman terkedu. Encik Rosli tunduk memandang lantai.
Kisah 3
Khairul berpeluh-peluh. Dari satu restoran ke satu restoran dimasukinya untuk mempromosikan produk jualan langsung. Dia gigih mencuba namun tiada seorang pelanggan pun sudi mendengar penjelasan mengenai produk yang ditawarkannya. Dia dihalau dan kadangakala dimaki hamun. Lebih malang lagi kalau tuan kedai sendiri yang mengusirnya keluar. Setelah berkali-kali gagal, Khairul mula mengeluh. Dia rasa penat dan hampa. Dia mula mempersoalkan nasib hidupnya, terpaksa ke sana ke mari menjual produk yang tiada siapa mahu sedangkan orang lain bersenang lenang menjamu makanan. Dia hampir-hampir berputus asa. Tiba-tiba terdengar suara seorang wanita memanggilnya. Khairul menoleh. Wanita yang sedang minum sendirian itu melambai kepadanya. Khairul bergegas datang. "Dari tadi saya perhatikan awak ke sana ke mari cuba menjual produk. Awak masih senyum walaupun ditolak berkali-kali. Awak terus berusaha tanpa mengenal penat. Saya kagum dengan kesungguhan awak," jelas wanita itu. Wajah Khairul yang murung lalu bersinar semula. Semangatnya yang kian luntur kembali bercahaya. Rasa penatnya hilang digantikan dengan tenaga baru. Wanita itu bersetuju untuk membeli dua kotak produk dari Khairul sambil terus memberi galakan padanya untuk berusaha. Hari itu Khairul tidak berjaya menjual banyak produk, namun ia adalah suatu hari yang sangat bermakna buatnya.
Sekarang bayangkan jika semua orang terus menyisihkan peniaga jalanan seperti Khairul.
Tanpa kita sedar, dalam kehidupan sosial kita amat memerlukan satu sama lain. Apa yang kita sebut dan buat serta tindakan yang kita ambil memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan kehidupan orang lain secara langsung atau tidak langsung. Maka dalam membina sebuah masyarakat yang bermotivasi dan penyayang, adalah amat penting untuk kita berkongsi peluang untuk sebuah hasil yang positif. Berilah peluang kepada orang lain dan peluang akan datang kepada anda.
Jadilah pencinta, bukan pengadil.




No comments:
Post a Comment