Maaf, lupa gambar ni diambil dari blog mane.
Sepanjang persekolahan, Miqa telah menadah berbagai jenis hukuman sama ada dari para cikgu atau para senior yang bijaksana. Sebahagiannya telah pun Miqa ceritakan dalam post ini. Tapi itu hanya segelintir sahaja. Setakat buku kena lempar, berdiri atas kerusi atau di depan kelas dan kena cubit atau tarik sideburn, itu semua kecik-punya-hal. Mari bercerita kes yang lebih 'brutal'.
Semasa bersekolah asrama di tingkatan dua, Miqa telah berkawan dengan budak-budak nakal dan dengan selamba mengikuti mereka pergi mandi sungai selepas tamat kelas sedangkan waktu itu sepatutnya diisi dengan aktiviti ulangkaji. Semasa sedang terkinja-kinja berseronok bermain air, tiba-tiba muncul dua orang senior lalu mengarahkan kami semua naik ke tebing. Kami langsung diiring balik ke asrama dengan tidak berbaju. Sesampai di asrama, kami disuruh berdiri di tepi padang bagi mempamerkan wajah 'budak-budak nakal' keseluruh penghuni asrama. Kami lalu dikerah berlari mengelilingi padang sebanyak 20 pusingan. Selesai berlari, dengan keadaan termengah-mengah kami diarah masuk ke bilik ketua asrama yang juga seorang senior. Kami di maki dengan 'kaw-kaw' sebelum dirotan bertalu-talu pada bahagian betis oleh seorang pembantu ketua asrama yang bertubuh besar yang juga bekas 'abang angkat' Miqa. It was worth it.
Errmm... Lepas tu apa lagi ek? Ok, semasa di tingkatan lima Miqa sangat malas gunting rambut dan selalu kena tahan sebab berambut panjang, sekalipun Miqa seorang pengawas sekolah. Cikgu yang bertanggung jawab menjalankan hukuman tersebut adalah CIkgu Mohamad, guru pendidikan jasmani. Beliau bukan sahaja tampan dan segak, malah tegas dan cekap pula menjalankan tugas. Seingat Miqa, hampir tiga atau empat kali dia memotong rambut Miqa di khalayak ramai di atas kesalahan ini. Hendak dijadikan cerita, pada pagi waktu kelas pendidikan jasmani, beliau telah menjalankan 'spot-check' rambut dan kuku dan Miqa sekali lagi di tahan atas kesalahan berambut panjang. Apabila tiba giliran Miqa untuk dipotong rambut, Miqa memberontak dan enggan menurut arahan supaya duduk diam ketika proses pemotongan dijalankan. Setelah bertekak beberapa ketika, akhirnya Miqa diterajang oleh Cikgu Mohamad. Ya, terajang iaitu tindakan menendang atau menyepak menggunakan kaki. Waktu tu memang terasa nak bertumbuk sangat dah. Tapi bila melihat muka CIkgu Mohamad yang penuh cahaya keimanan itu, niat nak terajang balik langsung dibatalkan.
Kisah terakhir ini mungkin tersasar sedikit dari tajuk. Tapi Miqa janji, it's a nice story. Kembali ke tingkatan dua, subjek sejarah adalah subjek kegemaran Miqa ketika itu dan Cikgu Ramlah (bukan nama sebenar) adalah guru yang mengajar mata pelajaran sejarah. Beliau adalah seorang guru yang ceria dan peramah. Miqa sangat gembira setiap kali tiba waktu mata pelajaran sejarah. Miqa akan memberi sepenuh tumpuan apabila Ckgu Ramlah mengajar. Segala tugasan yang Cikgu Ramlah berikan akan Miqa laksanakan dengan sempurna dan Miqa selalunya menjadi orang pertama yang menghantar kerja rumah. Miqa juga selalu membantu Cikgu Ramlah untuk mengangkut buku-buku dari kelas ke bilik guru dan lain-lain hal. Miqa dan Cikgu Ramlah ketika itu agak mesra namun tidak lebih dari hubungan guru dan anak murid. Pada suatu petang, Miqa seperti biasa membantu Cikgu Ramlah mengangkut buku-buku dari kelas ke bilik guru. Apabila Miqa melangkah masuk ke bilik guru, entah mengapa cikgu-cikgu lain tersenyum-senyum. Miqa lalu terdengar cikgu-cikgu berkenaan berbisik-bisik "inilah budak yang suka kat Cikgu Ramlah tu. Kecik-kecik dah pandai..." Miqa tergamam. Buku yang bertimbun yang dikendong dihempas di atas meja. Dengan hati panas menggelegak, Miqa melangkah kembali ke kelas. Sejak dari peristiwa itu, sikap Miqa berubah 360 darjah terhadap kelas sejarah dan Cikgu Ramlah. Miqa tidak lagi menumpukan perhatian apabila Cikgu Ramlah mengajar. Kerja rumah sejarah Miqa biarkan terbengkalai. Apabila seluruh kelas berdiri untuk mengucap selamat kepada Cikgu Ramlah, Miqa duduk. Cikgu Ramlah banyak kali menegur sikap Miqa namun tetap tidak berubah. Miqa langsung tak memandang lagi muka Cikgu Ramlah sehinggalah Miqa berpindah sekolah. Kepada Cikgu Ramlah, saya mohon maaf dan berharap Cikgu sihat dan sukses.
Whatever happen in school, stay in school (except SPM result. That shit follows you to the grave, maybe even afterlife). Walaupun ada kenangan pahit di zaman persekolahan, Miqa tetap merindui zaman tersebut. Kini apabila kita dah berusia, barulah kita sedar betapa seronoknya bersekolah dan selalu berharap dapat kembali menjadi pelajar.
Well, you can go back to school if you're school teacher.
Sekian sahaja buat kali ini. Hope you enjoy reading this small blog.
Thanks!
Miqa

No comments:
Post a Comment